
Kenali Som Jawa dan Ginseng Jawa
🌸Som Jawa (Talinum paniculatum)
- Nama gelaran lain yang merujuk kepada tumbuhan ini antaranya Som Jawa, Ginseng Jawa, Akar Song-song, Kelesom, Jawi Ginseng, Jewel of Opar.
- Ciri khas: Pokok tua memiliki akar berubi timbul di atas tanah menyerupai ginseng dengan batang separa berkayu merah kehijauan. Daun berbentuk bujur, sedikit runcing di hujung daun. Warna dan struktur bunganya hampir sama seperti Talinum fruticosum iaitu warna ungu muda (ungu pink) dengan lima kelopak. Buah matang berwarna merah seperti butiran manik kecil dengan biji hitam di dalamnya.

- Kegunaan asas:
- Dijadikan ulam dan herba perubatan.
- Dikatakan mempunyai khasiat untuk meningkatkan tenaga dan kesihatan tubuh.
- Dipercayai baik untuk kesihatan jantung dan sistem saraf namun perlu mendapatkan nasihat dari mereka yang arif menggunakan tumbuhan ini.
- Kadang-kadang ditanam sebagai pokok hiasan seakan bonsai kerana bentuk akar yang unik.
🌸Ginseng Jawa (Talinum fruticosum , syn : Talinum triangulare)
- Talinum fruticosum atau dalam taksonomi lama - Talinum triangulare adalah tumbuhan herba yang sering digunakan sebagai sayuran berdaun di banyak negara tropika.
- Berasal dari Amerika tropika dan kini ditanam secara meluas di Afrika Barat, Asia Tenggara, dan kawasan panas di Amerika Utara dan Selatan.
- Turut dikenali sebagai Som Jawa Hijau, Akar Som, Javanese Ginseng, Ceylon Spinach, Waterleaf, Surinam Spinach, Philippine Spinach, Espinaca de Java, Sweetheart.
- Ciri khas: Pokok tua tidak memiliki akar berubi yang timbul di atas tanah seperti Talinum paniculatum. Ia membentuk akar berubi seakan ginseng di dalam tanah dan jika cukup tua, akarnya seakan berdarah apabila terpotong. Batangnya lebih hijau dan lembut mudah terpatah dengan daun lebar seakan sukulen nipis. Bunga lima kelopak berwarna pink keunguan biasanya mekar di waktu petang. Buah matang akan membentuk seakan tanglung/ kapsul mutiara tergantung dengan biji benih hitam yang halus.
- Kegunaan:
- Daunnya lebih kerap digunakan dalam masakan seperti sup dan tumisan.
- Kaya dengan vitamin A, C, mineral seperti zat besi dan kalsium.
- Digunakan dalam perubatan tradisional untuk menguatkan darah dan sistem imun.
- Menambah selera makan, terutama bagi kanak-kanak.
- Digunakan untuk masalah anemia namun perlu pantauan diet dan ramuan yang betul untuk seimbangkan tekanan darah.
Perbezaan Som Jawa (Talinum paniculatum) dan Ginseng Jawa (Talinum fruticosum)
🌱Habitat :
- T. paniculatum bertahan hidup di kawasan panas kering.
- T. fruticosum lebih mudah membiak di kawasan lembap bersaliran baik.
🌱Batang :
- T. paniculatum memiliki batang hijau gelap kemerahan, lebih tegap dan separa berkayu di pangkal.
- T. fruticosum memiliki batang yang lembut berair dengan warna hijau sepenuhnya. Adakala ia berwarna sedikit kemerahan dipangkal pokok kerana faktor medium penanaman dan persekitaran.
🍃Daun :
- Daun T. fruticosum lebih tebal, besar dan berlendir berbanding T. paniculatum.
- Daun Talinum fruticosum sedap dimakan begitu sahaja dan sangat digemari ternakan seperti lembu, kambing.
![]() |
Perbezaan struktur bunga dan bentuk buah. |
🌺Bunga :
- Bunga Talinum paniculatum tumbuh dalam bentuk jambak, kecil sedikit berbanding bunga Talinum fruticosum.
🍈Buah :
- Buah T. paniculatum membentuk seakan manik-manik kecil kemerahan manakala T. fruticosum seakan mutiara berjuntai.
Akar :
- Akar T paniculatum membentuk ubi ginseng di atas tanah dengan warna coklat keputihan.
- Akar T. fruticosum mengambil masa lebih panjang untuk membentuk akar ginseng di dalam tanah. Akar ginseng T. fruticosum berwarna merah keunguan seakan berdarah hanya pada pokok yang benar-benar berusia.

Kegunaan :
- Pengunaan T. paniculatum lebih kepada perubatan tradisional dan tonik tenaga. Perlu nasihat yang arif untuk pengambilannya. Ia bersifat diuretik (melawaskan pembuangan air kecil), emolien.
- T. fruticosum pula lebih selamat diambil sebagai sayuran selingan (bukan harian), sumber makanan ternakan, sumber zat besi.
Kesan Sampingan & Langkah Berjaga-jaga
Walaupun kedua-dua tumbuhan ini mempunyai manfaat, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
Kandungan Oksalat Tinggi
- Talinum fruticosum mengandungi asid oksalik, yang boleh menyebabkan batu karang jika dimakan berlebihan, terutama bagi mereka yang ada masalah buah pinggang.
- Jika dimakan mentah dalam kuantiti banyak, boleh menyebabkan rasa kebas ringan pada lidah (seperti bayam).
Kesan pada Tekanan Darah
- Individu yang mengambil ubat darah tinggi atau mempunyai masalah tekanan darah rendah perlu berhati-hati mengambil mana-mana bahagian dari kedua jenis tumbuhan ini kerana pengambilan dikatakan menurunkan tekanan darah. Kesannya tidak mendadak seperti hempedu bumi (Andrographsis paniculata) tetapi masih perlu berjaga-jaga. Ambil dalam dos rendah dahulu jika tidak biasa dengannya.
Reaksi Alergi (Jarang Berlaku)
- Ada individu yang mungkin mengalami gatal-gatal atau ketidakselesaan perut selepas mengambil dalam kuantiti banyak.
Tidak Sesuai untuk Wanita Hamil dalam Jumlah Berlebihan
- Tiada kajian terperinci, tetapi tumbuhan ini mungkin ada kesan hormon semula jadi yang merangsang rahim. Oleh itu, wanita hamil atau ingin hamil serta menyusukan bayi dinasihatkan mengambil dalam jumlah sedikit sahaja. Jika boleh dielakkan adalah lebih baik.
Resepi & Cara Penggunaan
🍜Sup Ginseng Jawa
Bahan:
- 1 genggam daun Talinum fruticosum
- 2 ulas bawang putih (diketuk)
- 1 cawan stok sup ayam atau ikan bilis (boleh guna kiub pati)
- 1 biji telur (pilihan)
- Garam & lada secukup rasa
Cara Masak:
- Tumis bawang putih sehingga wangi, masukkan sup ayam/ikan bilis.
- Bila mendidih, masukkan daun Talinum fruticosum dan kacau sebentar.
- Jika mahu, pecahkan telur dan kacau supaya jadi tekstur berkrim.
- Perasakan dengan garam dan lada, siap untuk dihidang.
🍅Kerabu Ginseng Jawa
Bahan:
- 1 genggam daun Talinum fruticosum (dicelur)
- 1 sudu besar kelapa parut (disangai)
- 1 biji limau kasturi (ambil jus)
- 2 biji cili padi (dihiris)
- Garam & gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Gaulkan semua bahan sehingga sebati.
- Hidangkan sebagai ulam atau lauk sampingan.
Tambahan idea / menu :
- Cara memasak Ginseng Jawa oleh Laman Herbaheartku
- Sarang Telur & Ginseng Jawa Goreng oleh Sue's Kitchen
- Ginseng Jawa Goreng Belacan perkongsian blog Kebun Bahagia Bersama
- Cookpad Indonesia- Resepi Ginseng Jawa
- Pastikan tumbuhan yang diambil bebas dari pengunaan racun/ bahan kimia asing dan tidak tercemar dengan asap kereta dan sebagainya.
- Jika mempunyai masalah kesihatan, mengambil ubatan tertentu, dapatkan nasihat orang yang lebih arif sebelum menggunakannya sebagai ikhtiar.
- Ambil dalam dos rendah dahulu terutama untuk kanak-kanak. Lihat nota kesan sampingan.
- Reaksi badan adalah berbeza bergantung kepada banyak faktor. Admin tidak bertanggungjawab untuk percubaan peribadi.
Penanaman dan Penjagaan
🌸Som Jawa (Talinum paniculatum)
✅ Pembiakan – Biji benih atau keratan batang.
✅ Media Tanah – Tanah berpasir dengan saliran baik.
✅ Sinar Matahari – Perlukan cahaya matahari penuh hingga separa teduh.
✅ Siraman – Tidak terlalu kerap, cukup untuk memastikan tanah tidak kering sepenuhnya.
🌸Ginseng Jawa (Talinum fruticosum)
✅ Pembiakan – Lebih mudah hidup dengan keratan batang untuk tuaian daun.
✅ Media Tanah – Lebih sesuai dengan tanah lembap dan kaya bahan organik.
✅ Sinar Matahari – Boleh tumbuh dalam separa teduh dan kawasan lembap. Memerlukan pencahayaan untuk berbunga.
✅ Siraman – Bergantung kepada persekitaran dan medium penanaman. Jika cuaca terlalu panas kering, perlu siram lebih kerap. Elakkan air bertakung. Cukup hanya lembap persekitarannya. Dalam keadaan kemarau, daunnya akan mengecil atau berkurang.
Sekiranya ingin menanam sendiri, klik pautan untuk pembelian
➡️Biji Benih Som Jawa (Talinum paniculatum)
➡️Anak Pokok Akar Song-song/ Som Jawa/ Ginseng Jawa (Talinum paniculatum)
➡️Anak Pokok Ginseng Jawa (Talinum fruticosum)
➡️Keratan Pokok Ginseng Jawa/ Akar Som (Talinum fruticosum)
Secara peribadi, admin lebih selesa menggunakan nama Som Jawa untuk Talinum fruticosum dan Ginseng Jawa untuk Talinum paniculatum. Walau bagaimanapun, nama tempatan boleh berbeza mengikut lokasi dan sumber rujukan. Yang penting, pastikan pengecaman tumbuhan dilakukan dengan betul sebelum digunakan untuk tujuan masakan atau perubatan. Namun jika diperhatikan, resepi masakan menggunakan Talinum fruticosum lebih mudah ditemui dengan nama carian Ginseng Jawa.
Semoga tiada lagi pertelingkahan untuk perkara remeh sebegini dan maklumat yang dikongsikan ini membantu anda memahami lebih lanjut mengenai Talinum paniculatum dan Talinum fruticosum serta kegunaan mereka dalam kehidupan manusia.
Jika anda mempunyai pengalaman menggunakan Som Jawa atau Ginseng Jawa, kongsikan di ruangan komen! Adakah anda lebih suka menggunakannya sebagai makanan atau herba? Jangan lupa kongsikan nama panggilan yang anda gunakan untuk mereka dan spesies mana satu 😇.
Ulasan