
Jenis Buluh Lemang yang Sesuai
Tidak semua jenis buluh boleh digunakan untuk membuat lemang. Buluh yang dipilih biasanya spesies buluh yang tidak tebal supaya mudah dipotong dan masak sekata.
Faktor yang mempengaruhi pemilihan buluh sebelum digunakan sebagai buluh lemang :
- Ketebalan dan Kerasan Buluh : Buluh yang terlalu tebal (contoh: buluh duri) susah dipotong dan boleh menyebabkan lemang masak tak sekata.
- Lapisan dalam Buluh : Sesetengah buluh ada lapisan serbuk putih yang membantu mengelakkan lemang melekat. Kalau buluh terlalu licin dalamannya, lemang boleh melekat dan susah dikeluarkan.
- Rasa dan Aroma : Ada buluh yang memberikan bau kurang enak atau bergetah, jadi tak sesuai untuk lemang.
- Buluh Berumur Sederhana : Buluh yang digunakan bukan terlalu muda (nipis & mudah pecah) atau terlalu tua (keras & mungkin beracun).
- Kesegaran Buluh - Ada yang percaya lemang lebih sedap jika dimasak dalam buluh yang dipotong segar, sebab bau asli buluh menyerap ke dalam pulut.

Berikut adalah beberapa jenis buluh yang digunakan sebagai buluh lemang:
🌿Buluh Madu (Gigantochloa albociliata)
- Paling popular digunakan untuk lemang.
- Mudah dibelah selepas masak kerana tidak terlalu tebal.
- Lapisan semula jadi dalam ruasnya membantu mengelakkan lemang melekat.
- Mempunyai ruas sederhana panjang dengan dinding yang nipis.
- Menghasilkan aroma yang wangi dan enak.
- Anak pokok buluh madu boleh diperoleh di pasaran dalam bentuk polibag disini.
🌿Buluh Lemang (Schizostachyum sp.)
- Bekalan buluh lemang hijau dari spesies ini mudah didapati di pasaran.
- Mempunyai ruas panjang dengan dinding yang lebih nipis.
- Rebungnya kurang digemari kerana rasanya pahit.
- Memerlukan kawalan api yang baik untuk mengelakkan lemang hangus atau buluh pecah semasa dibakar.
- Tidak semua buluh dibawah spesies Schizostachyum sp. sesuai digunakan sebagai buluh lemang. Spesies yang biasa digunakan sebagai buluh lemang termasuk Schizostachyum brachycladum dan Schizostachyum grande.
- Shizostachyum brachycladum dikenali sebagai Sacred Bali Bamboo, Buluh Kuning, Buluh Nipis.
- Lemang yang menggunakan buluh kuning kelihatan kurang menarik berbanding buluh hijau.
- Keratan anak pokok buluh kuning berakar boleh dapatkan disini manakala anak pokok buluh lemang hijau klik sini.
🌿Buluh Minyak (Bambusa vulgaris)
- Juga dikenali sebagai Buluh Gading, Buluh Aro, dan Buluh Temalang.
- Terdapat pelbagai variasi dalam spesies ini, namun tidak semua sesuai untuk lemang.
- Rebungnya boleh dimakan dan sering dijadikan jeruk.
- Lemang yang dimasak dalam buluh ini mempunyai sedikit perbezaan rasa kerana kandungan getah dan sifat semulajadinya berbanding buluh lain.
- Tidak digunakan secara komersial untuk lemang kerana sukar dibelah, tetapi masih boleh digunakan jika tiada pilihan lain.
- Ruasnya lebih pendek berbanding Buluh Lemang dan Buluh Madu.
- Dindingnya agak tebal, kuat, dan lebih sesuai untuk kegunaan pembinaan.
🌿Buluh Betong (Dendrocalamus asper)
- Sukar diperoleh pada masa kini.
- Juga dikenali sebagai Giant Bamboo, Rough Bamboo, dan Buluh Petung.
- Mempunyai ruas pendek dengan dinding yang lebih tebal.
- Secara tradisional, memang ada orang menggunakannya untuk lemang, tetapi ia bukan pilihan utama.
- Lebih tahan haba, tetapi ketebalannya boleh menyebabkan lemang lambat masak.
- Di kawasan tertentu seperti Sabah dan Indonesia, ada yang masih menggunakan Buluh Betong kerana ia mudah didapati di kawasan mereka.
- Beberapa orang juga percaya ia memberikan aroma yang unik kepada lemang.
- Sangat sesuai untuk pembuatan lantai rumah, pagar, anyaman buluh, bakul sayur, arang, dan bahan api kerana ketahanannya.
- Rebungnya bersaiz besar dan mempunyai rasa manis.

Jenis Daun untuk Membalut Lemang
Kebanyakan orang menggunakan daun pisang untuk melapik bahagian dalam buluh, tetapi ada juga yang menggunakan daun lerek (Phrynium pubinerve).
✅ Daun Pisang (Musa sp.)
Daun pisang hutan/ pisang karuk paling biasa digunakan kerana lembut dan mudah didapati. Ia mempunyai fungsi penting dalam penyediaan lemang :
- Mengelakkan pulut melekat pada buluh - Lapisan lilin semula jadi pada daun membantu memasak pulut dengan sekata. Penggunaan daun pisang juga memastikan lemang lebih senang dikeluarkan daripada buluh selepas masak.
- Menambah aroma wangi - Daun pisang memberikan bau khas yang menyerap ke dalam lemang. Siapa yang tidak teringat-ingat rasa dan bau nasi lemak daun pisang. Berbeza dengan nasi lemak biasa.
- Melindungi santan dan pulut daripada masak secara terus - Ia bertindak sebagai penebat haba supaya pulut masak perlahan-lahan tanpa rentung. Daun pisang akan mengering dahulu apabila lemang dibakar, jadi pulut santan yang menjadi lemang di dalam tidak terlalu kering dan berkerak kecuali terlebih masak.
✅ Daun Lerek (Phrynium pubinerve)
Selain daun pisang, daun lerek juga boleh digunakan sebagai alternatif daun pisang dalam pembuatan lemang. Penggunaan daun lerek lebih popular di sesetengah kawasan di Malaysia, terutama dalam masyarakat yang masih mengamalkan cara tradisional dalam memasak lemang serta mereka yang mahukan rasa dan aroma berbeza dalam lemang mereka. Penggunaan daun pisang lebih popular kerana daun lerek sukar diperoleh selain proses pengecaman spesies daun lerek dikalangan generasi baru.
Berikut kegunaan daun lerek dalam pembuatan lemang :
- Lebih tahan panas – Daun lerek lebih tebal, tahan panas dan tidak mudah koyak semasa proses memasak lemang.
- Mempunyai aroma tersendiri – Memberikan bau wangi yang sedikit berbeza berbanding daun pisang.
- Mengelakkan pulut melekat pada buluh – Sama seperti daun pisang, daun lerek juga mempunyai lapisan semula jadi yang membantu pulut masak dengan sekata.

Resepi Lemang Tradisional (Asli)
Jika anda ingin mencuba sendiri membuat lemang di rumah, berikut adalah resepi asli yang sering digunakan:
Bahan-bahan:
✅ 1 kg beras pulut (basuh dan rendam sekurang-kurangnya 2-3 jam)
✅ 1 liter santan pekat
✅ 1 sudu besar garam
✅ Daun pisang / Daun lerek secukupnya
✅ Buluh lemang (dibersihkan dahulu)
Cara Membuat:
- Sediakan buluh dan daun pisang. Potong daun pisang mengikut panjang buluh dan masukkan ke dalamnya.
- Masukkan pulut. Jangan isi penuh, tinggalkan ruang untuk pulut mengembang.
- Tuangkan santan. Campurkan santan dengan garam, kacau sebati, dan tuangkan ke dalam buluh yang berisi pulut.
- Susun buluh secara condong berhampiran bara api. Pastikan buluh dipusingkan dari semasa ke semasa untuk memastikan masakan sekata. Perlu ada orang mahir dan peka yang menjaganya.
- Tempoh masak lebih kurang 4-5 jam bergantung kepada jenis buluh, bara api. Pastikan santan meresap dan pulut masak sempurna sebelum diangkat.
Tips Masak Lemang Supaya Tidak Mentah atau Hangus
- Gunakan api sederhana. Bara api lebih sesuai berbanding api terbuka yang terlalu besar.
- Pusingkan buluh selalu. Ini membantu mengelakkan bahagian tertentu menjadi terlebih/ terkurang masak atau hangus.
- Jangan terlalu penuh. Jika buluh terlalu padat dengan pulut, ia mungkin tidak masak sepenuhnya di bahagian dalam.
- Gunakan santan yang mencukupi dan tidak terlalu cair. Lemang yang kurang santan akan menjadi kering dan kurang lemak.
Variasi Lemang Menarik:
- Lemang Pulut Hitam 🍚 – Campur pulut putih dengan pulut hitam untuk rasa lebih lemak.
- Lemang Jagung 🌽 – Tambah hirisan jagung dalam pulut untuk tekstur lebih manis.
- Lemang Pandan 🍃– Kisar daun pandan dan campur jus pandan ke dalam santan untuk warna dan aroma wangi.
- Lemang Pressure Cooker - Inovasi lemang tradisional menggunakan buluh tetapi dimasak menggunakan teknologi semasa menggunakan Pressure Cooker seperti Noxxa. Saiz buluh lemang yang sesuai dan cara memasaknya boleh lihat disini.
- Lemang Periuk Kera – Gantikan buluh dengan kantung semula jadi tumbuhan periuk kera, lebih kepada konsep "on-the-go" sebab saiznya kecil. Dianggap ekslusif dan lebih mahal berbanding lemang biasa dan tidak digalakkan kerana periuk kera antara tumbuhan yang diancam kepupusan.

Membuat lemang sememangnya memerlukan kesabaran, tetapi hasilnya sangat memuaskan. Proses penyediaannya juga mengeratkan hubungan ahli keluarga melalui kerjasama yang terjalin. Bila sebut tentang lemang, admin sendiri terbayang nikmatnya kepala lemang—bahagian yang sering menjadi rebutan kerana rasanya yang lebih berlemak serta teksturnya yang lembut dengan sedikit garing di bahagian tepi. Selain menjadi hidangan istimewa ketika Hari Raya, lemang kini boleh dinikmati pada bila-bila masa sebagai makanan tradisional yang kaya dengan rasa dan sejarahnya.
Kalau anda merupakan pembekal buluh lemang atau membekalkan benih pelbagai jenis buluh boleh tinggalkan komen di bawah! Mana tahu boleh bantu sesiapa yang sedang mencarinya. Antara kedai atas talian yang menjual buluh lemang boleh klik buluh lemang murah atau disini. Selamat mencuba & selamat menikmati lemang di hari raya!
Bacaan Tambahan:
- Resesarch Gate : Characterization of the Properties of Buluh Madu (Gigantochloa albociliata)
- BambuBatu.com : Schizostachyum brachycladum : Sacred Bali Bamboo
- Nparks | Schizostachyum brachycladum
- Useful Tropical Plants : Schizostachyum brachycladum
- Wikipedia : Bambusa vulgaris
- BambuBatu.com : Dendrocalamus asper : Petung or Giant Bamboo
- BH Online : Tauke buluh lemang 'buat duit' .(29 April 2022)
- Kosmo : Rezeki berlipat ganda pembekal buluh lemang .(14 April 2024)
Ulasan