Panama Rose Si Jelita Tropika yang Wangi & Mesra Rama-rama

Panama Rose (Rondeletia leucophyllamemang jarang dibicarakan secara meluas di Malaysia, dan ada beberapa sebab kenapa ia seperti “bintang senyap” dalam dunia landskap tempatan. Tumbuhan renek dengan bunganya comel-comel warna merah jambu terang sesuai sebagai tanaman hiasan pelembut visual tembok batu. Selain sesuai dengan iklim tropika, tiada siapa menyangka ia sebenarnya memiliki bau wangi dan tahan lasak disebalik kelembutannya. Jom kenal dengan lebih dekat si jelita ini dan masukkan dalam wishlist tanaman anda!


Asal-usul Panama Rose 

Panama Rose tergolong dalam keluarga Rubiaceae, iaitu keluarga yang sama dengan Pokok kopi (Coffea spp.), Pokok bunga Jenjarum (Ixora sp) , Mengkudu (Morinda citrifolia). Keluarga Rubiaceae sememangnya terkenal dengan bunga kecil-kecil yang tumbuh dalam jambak dan banyak yang ada nilai perubatan atau hiasan.

Panama Rose atau nama botaninya Rondeletia leucophylla berasal dari kawasan tropika Amerika Tengah - termasuklah Panama dimana gelarann popularnya diperoleh. Ia turut dikenali sebagai Bush Penta (bentuk bunga macam penta (Pentas lanceolata), kecil-kecil & berbintang), Wild penta dan kadang dikenali sebagai Rondeletia sahaja. Namun terdapat banyak spesies lain juga dalam genus Rondeletia ini.

Di Malaysia ia tiada nama tempatan atau Melayu yang khusus digunakan secara meluas. Kadang-kadang orang kampung atau nurseri kecil hanya panggil “pokok bunga wangi” atau “bunga pink senja” ikut pengalaman mereka sendiri. Di Malaysia ia bukan pokok baru sebenarnya tetapi :

  • Kurang didokumentasi dalam sumber Melayu.
  • Jarang digunakan dalam landskap komersial (projek perbandaran, taman perumahan moden).
  • Lebih mudah dijumpai di halaman rumah lama, kampung, atau koleksi peminat tumbuhan.
  • Banyak spesies eksotik seperti ini dibawa masuk semenjak dahulu oleh peminat tanaman atau pelancong yang suka kumpul tumbuhan tropika dari Amerika Tengah & Selatan.

Ciri Botani dan Tarikan Panama Rose (Rondeletia leucophylla)

  • Tumbuhan dengan ketinggian sederhana 1m dan boleh mencecah hingga 2m.
  • Mudah dijaga namun memerlukan pangkasan berkala untuk mengawal bentuk dan ketinggiannya untuk kelihatan seragam.
  • Sesuai sebagai sempadan atau sudut focal dalam taman.
  • Bunga kecil berkelompok/ bergugusan dengan warna merah jambu terang. Kelihatan meriah jika mekar serentak.
  • Daun hijau tua dengan permukaan sedikit berbulu memberi kontras cantik pada bunganya.
  • Bunga berbau wangi, terutama waktu petang/senja hingga malam – sesuai untuk taman aromatik atau taman sensori.
  • Mudah dijaga tetapi perlu pruning berkala.
  • Masih eksotik dan jarang digunakan.

Panama Rose (Rodelentia leucophyllaturut dikenali dengan nama Penta. Namun pokok Penta yang lebih popular dan  biasa ditanam di nurseri atau projek landskap komersial merujuk kepada spesies Pentas lanceolata. berbanding Rodelentia leucophylla sekalipun mereka dalam keluarga yang sama.

🌸 Pentas lanceolata (nama biasa: Penta)

  • Pokok rendah dengan ketinggian 0.5-1 m.
  • Pertumbuhan lebih padat, sesuai sebagai border atau taman mini.
  • Berbunga kecil berkelompok dengan lebih banyak pilihan warna berbanding Panama Rose — merah, pink, ungu, putih.
  • Bunga Pentas lanceolata tidak berbau wangi.
  • Daunya licin, tajam sedikit
  • Sangat popular kerana mudah dijaga dan cepat berbunga.
  • Menarik serangga pendebunga, sama macam Panama Rose.

Mengapa Panama Rose Kurang Popular di Malaysia?

1. Kurang liputan dalam industri nurseri & landskap arus perdana

  • Banyak nurseri besar dan projek landskap komersial fokus pada pokok-pokok 'mainstream' macam ixora, bougainvillea, heliconia, dan alamanda kerana ia lebih mudah dijaga dan biasa digunakan. Tenaga mahir untuk penyelenggaraan Panama Rose masih kurang.
  • Panama Rose juga jarang disebut dalam silibus landskap biasa, jadi tidak ramai pereka baru yang tahu mengenainya.

2. Agak 'old school' atau eksotik tempatan

  • Pokok ini mungkin lebih popular di kalangan pengumpul tumbuhan tropika atau peminat bunga wangi.
  • Kadang hanya dijumpai di taman-taman lama, rumah warisan, atau halaman kampung.

3. Penyelenggaraan dan penampilan

  • Boleh jadi rimbun dan kelihatan kurang kemas dari segi visual berbanding pokok jejarum jika tidak diselenggara dengan baik.
  • Dahannya mudah rebah ketika hujan lebat kerana batangnya lembut.
  • Tidak berbunga sepanjang tahun – bunga Panama Rose hanya meriah pada masa tertentu (biasanya ketika musim panas).

4. Tiada branding atau nilai jualan kuat

  • Panama Rose kurang perhatian kerana tiada nilai komersial yang kuat seperti pokok herba ubatan. Ia juga tiada nilai eksotik seperti orkid.
  • Pilihan warna dan variasi tidak banyak seperti bunga wangi yang lain. Bunga Ros sebenar ada pelbagai warna, Melur, Cempaka juga ada banyak variasi kelopak. Tumbuhan dari keluarga yang sama dengan Panama Rose seperti Jenjarum (Ixora sp.) dan Pentas lanceolata juga mempunyai variasi pilihan warna. 

Kegunaan Panama Rose dalam Landskap

  • Sesuai sebagai pokok sempadan (border), focal point di laman kecil, atau hiasan pasu besar.
  • Sebagai pagaran renek berbunga – boleh disusun berderet untuk sempadan yang wangi dan berwarna.
  • Bagus untuk taman biodiversiti kerana ia menarik perhatian rama-rama, lebah dan serangga pendebunga.
  • Mewujudkan suasana 'healing garden' dengan bunga berbau harum semulajadi.
  • Sesuai untuk hiasan dalam taman bersifat tropika, hiasan landskap tadika, rumah orang tua atau laman tema seperti :
    • Cottage Garden, 
    • English Garden,
    • Taman Sensori
    • Taman Aromatik.

Ada Kegunaan Lain?

Setakat ini, Panama Rose belum diketahui ada kegunaan dalam industri wangian, perubatan tradisional atau masakan. 


Cara Pembiakan Panama Rose

Keratan batang (cara paling biasa):

  1. Pilih ranting sihat dan separa matang (tidak terlalu tua, tidak terlalu muda).
  2. Potong sekitar 10–15 cm panjang.
  3. Buang daun bawah, biarkan 2–3 helai daun di bahagian atas.
  4. Celup hujung bawah dengan serbuk penggalak akar (jika ada).
  5. Tanam dalam medium porous (campuran tanah hitam + pasir atau perlite).
  6. Siram dan simpan di tempat teduh separa selama 2–3 minggu sehingga keluar akar.
  7. Bila dah stabil, boleh pindah ke tempat lebih cerah.

Biji benih:

  • Panama Rose memiliki buah  dan biji benih tetapi semaian biji benih kurang digalakkan melainkan memang hendak cuba bereksperimen atau tiada sumber keratan.
  • Semaian melalui biji agak sukar bercambah dan mengambil masa.

Anak pokok Panama Rose (Rondeletia leucophylla) ada dijual di nurseri area Sungai Buloh atau secara atas talian boleh dapatkan disini


Cara Penjagaan Panama Rose

  • Memerlukan cahaya matahari penuh – lagi banyak cahaya, lagi banyak bunga.
  • Tanah bersaliran baik dan tidak menakung air.
  • Siram secara sederhana – elakkan tanah terlalu lembap.
  • Boleh dipangkas selepas berbunga untuk menggalakkan pertumbuhan baru dan bentuk yang kemas.
Secara jujurnya admin sendiri tidak mengetahui kewujudan tumbuhan ini kerana namanya tidak pernah disebut dalam subjek landskap dan hortikultur ketika zaman pengajian. Admin mula mengenali Panama Rose ketika melihatnya di halaman rumah datuk saudara baru-baru ini. Rupanya mirip Pentas lanceolata yang biasa dilihat di nurseri semasa tempoh praktikal. Namun baunya yang harum membezakan Panama Rose sebagai tumbuhan yang unik dan layak diberi ruang dalam mana-mana taman sensori.

Pokok ini berpotensi untuk diketengahkan sebagai tumbuhan yang menyumbang kepada suasana terapi di laman rumah. Meskipun belum terkenal, Panama Rose sebenarnya layak untuk menjadi ikon baru dalam landskap tropika.

Pernah lihat pokok ini? Kongsikan pengalaman anda di ruang komen!😊

Ulasan