Pewarnaan Fabrik Semula Jadi: Seni Warna dari Alam.

Pernah terfikir bagaimana kain batik atau tenunan tradisional mendapat warna yang terang dan tahan lama sebelum adanya pewarna sintetik? Jawapannya terletak pada pewarna semula jadi yang diekstrak daripada pelbagai bahagian tumbuhan samada daun, buah, kulit kayu, teras kayu atau bunga, dan dalam sesetengah budaya - serangga seperti cochineal (Dactylopius coccus).

Teknik pewarnaan tradisional menggunakan tumbuhan semakin mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan pencinta alam dan peminat fesyen. Seiring perkembangan teknologi, semakin banyak kajian saintifik yang membuktikan manfaat pewarna semula jadi dan kesan negatif pewarna sintetik terhadap kesihatan serta alam sekitar. Teknik pewarnaan berasaskan tumbuhan kini ditambah baik agar sesuai digunakan dalam fesyen moden.

Dalam artikel ini, kita akan meneroka bagaimana tamadun dahulu menggunakan pewarna semula jadi dari Malaysia dan seluruh dunia, kaedah pewarnaan, serta satu eksperimen ringkas yang boleh anda cuba sendiri di rumah!


Kelebihan Pewarna Semula Jadi Berasaskan Tumbuhan

Pewarna semula jadi daripada bahan organik lebih mesra alam dan selamat untuk kulit berbanding pewarna sintetik yang dihasilkan daripada bahan kimia. Warna yang dihasilkan mungkin lebih lembut, namun ia tahan lama dengan penjagaan yang betul.

  • Mesra Alam: Tidak mencemarkan air dan tanah.
  • Selamat untuk Kulit: Tidak menyebabkan alahan kerana bebas bahan kimia berbahaya.
  • Warna Unik dan Organik: Setiap pewarnaan memberikan hasil yang berbeza dan sukar ditiru.

Bagaimana Manusia Mula Menemui Teknik Pewarnaan?

Pernahkah terfikir dari mana datangnya idea dan teknik mewarna fabrik pada awal peradaban manusia?  Di Mesir purba, orang menggunakan madder root untuk mendapatkan warna merah, manakala orang Eropah menggunakan tumbuhan woad sebagai sumber pewarna biru. Di Asia Tenggara, kunyit dan inai menjadi pilihan utama untuk mewarnakan kain dan kulit. Teknik pewarnaan ini berkembang dari generasi ke generasi, sehinggalah orang mula faham tentang peranan mordant untuk meningkatkan ketahanan warna. 

Sejak ribuan tahun lalu, manusia telah menemui cara mengekstrak warna dari alam melalui pemerhatian dan eksperimen. Contohnya :

Pewarna daripada makanan

  • Orang dulu perasan tangan mereka jadi kuning bila kupas kunyit, atau kuku jadi merah selepas guna inai. Dari situ, mereka cuba aplikasikan warna ini pada kain atau benang.

Pemerhatian semula jadi

  • Kadangkala daun yang gugur meninggalkan kesan warna pada tanah atau batu, memberi ilham kepada manusia untuk mengekstrak warna dari tumbuhan.

Penemuan secara tidak sengaja

  • Air rebusan kayu sepang atau akar mengkudu yang tertumpah pada kain mungkin menyebabkan kesan warna yang tidak luntur, jadi mereka mula bereksperimen dengan cara mengekalkannya.

Pemerhatian terhadap besi berkarat

  • Kain yang terkena air berkarat menjadi lebih gelap, jadi mereka cuba gunakan serbuk karat atau besi dalam larutan pewarna untuk mengubah tona warna.

Percubaan dengan bahan semula jadi lain

  • Kulit kayu, air lumpur, atau abu kayu digunakan sebagai bahan tambahan untuk melihat kesannya terhadap pewarna.

Ilmu ini menjadi asas kepada teknologi pewarna moden hari ini. Tapi uniknya, pewarna semula jadi masih digunakan dalam batik tradisional, tekstil etnik, dan industri fesyen lestari kerana lebih mesra alam berbanding pewarna sintetik.


Tumbuhan yang Sesuai untuk Pewarnaan Fabrik.

Berikut adalah senarai beberapa tumbuhan yang menghasilkan warna semula jadi yang boleh digunakan untuk mewarnakan kain :

1. Warna Merah & Jingga🟥🧡

  • Mengkudu (Morinda citrifolia) – Akar → Jingga kemerahan
  • Brazilwood / Pau Brasil (Caesalpinia echinata) – Kulit Kayu → Merah terang
  • Madder (Rubia tinctorum) – Akar → Jingga kemerahan (YouTube)
  • Bawang Merah (Allium cepa) - Kulit Bawang Kering → Jingga kekuningan / warna karat lembut.
  • Kesumba (Bixa orellana) – Buah → Jingga terang
  • Daun Jati (Tectona grandis) – Daun → Merah tua / keunguan (bergantung pada pH dan mordant)

2. Warna Kuning 💛

  • Kunyit (Curcuma longa) – Rizom → Kuning terang
  • Marigold (Tagetes spp.) – Bunga → Kuning keemasan
  • Weld (Reseda luteola) – Daun dan Batang → Kuning terang
  • Tecoma (Tecoma stans) – Bunga → Kuning keemasan

3. Warna Hijau💚

  • Pandan (Pandanus amaryllifolius) – Daun → Hijau terang
  • Nettle (Urtica dioica) –  Daun segar → Hijau kekuningan 
  • Spinach (Spinacia oleracea) – Daun dan Batang → Hijau lembut
  • Dock (Rumex spp. - Rumex abyssinicus, Rumex crispus) – Akar dan Batang→ Hijau tua

4. Warna Biru & Ungu💙🫐

  • Bunga Telang (Clitoria ternatea) –  Bunga → Biru terang
  • Indigo (Indigofera tinctoria) –  Daun → Biru indigo (YouTube)
  • Grapes (Vitis spp.) – Buah → Biru gelap keunguan
  • Logwood (Haematoxylum campechianum) – Teras Kayu → Biru gelap keunguan
  • Woad (Isatis tinctoria) – Daun → Biru pucat (YouTube)

5. Warna Coklat & Hitam🤎⚫

  • Alder bark (Alnus spp.) – Kulit kayu → Hitam keperangan
  • Kelapa (Cocos nucifera) – Arang Tempurung Kelapa → Hitam pekat
  • Ketapang (Terminalia catappa) - Daun kering → Coklat atau kelabu lembut
  • Manggis (Garcinia mangostana) – Kulit Kayu → Coklat pekat
  • Oak (Quercus spp.) – Kulit kayu → Coklat kemerahan
  • Pinang (Areca catechu) – Buah → Kelabu kehitaman
  • Teh (Camellia sinensis) – Daun dan batang → Coklat lembut
  • Walnut (Juglans spp.) – Kulit Buah  → Coklat gelap


Apa Itu Mordant dan Kegunaannya Dalam Pewarnaan Fabrik?

Mordant (garam logam) ialah bahan kimia yang digunakan dalam proses pewarnaan kain untuk:

  • Membantu pewarna melekat pada kain → Pewarna semula jadi biasanya tidak terus melekat kuat pada serat kain, jadi garam logam berfungsi sebagai "jambatan" antara pewarna dan kain.
  • Meningkatkan ketahanan warna → Tanpa mordant, warna boleh cepat pudar atau luntur semasa basuhan.
  • Mengubah tona warna → Mordant boleh mengubah warna asal pewarna, menjadikannya lebih terang, gelap, atau berlainan tona.

Mordant memainkan peranan penting dalam pewarnaan tekstil tradisional seperti batik, tenunan, dan pewarnaan benang kerana ia membantu warna lebih stabil dan tahan lama.

Selain garam logam, bahan semula jadi juga boleh bertindak sebagai mordant, seperti:

  • Cuka (Asid asetik) – Untuk warna merah dan ungu lebih terang, menstabilkan warna.
  • Air kapur (Kalsium hidroksida) – Untuk menstabilkan warna.
  • Kulit kayu atau tanin (dari teh, daun jambu, kulit delima) – Untuk meningkatkan lekatan warna pada kain.

Jenis Garam Logam Dan Kesan Pada Pewarnaan

Berikut adalah senarai garam logam (mordant) yang biasa digunakan dalam proses mewarna fabrik dan kesan pada proses pewarnaan :

  • Alum (Potassium aluminum sulfate) - Mencerahkan warna, menjadikan warna lebih jelas
  • Tawas (Aluminium sulfate) - Sama seperti alum, biasanya untuk warna kuning & oren
  • Zat besi/sulingan karat (Ferrous sulfate) - Menggelapkan warna (kuning jadi hijau gelap, merah jadi coklat)
  • Sulfat kuprum (Copper sulfate) - Menjadikan warna lebih kebiruan atau kehijauan
  • Klorida timah putih (Tin chloride) - Meningkatkan warna merah dan oren, menjadikannya lebih cerah
  • ⚠️ Kalium dikromat (Chromium salts) - Menjadikan warna lebih terang dan tahan lama tetapi perlu digunakan dengan berhati-hati kerana ia bersifat toksik. Tidak sesuai untuk penggunaan di rumah dan sangat jarang digunakan sebagai mordant pada masa ini.

Teknik Pewarnaan Fabrik dengan Tumbuhan.

Secara asasnya, ada dua konsep utama dalam pewarnaan fabrik secara semula jadi iaitu:

  • Celupan Panas – Kain direndam dalam larutan pewarna yang direbus untuk mendapatkan warna yang lebih kuat.
  • Celupan Sejuk – Kain direndam dalam larutan pewarna tanpa pemanasan untuk warna yang lebih lembut.

Fabrik yang ingin digunakan akan direndam bersama mordant terlebih dahulu untuk membantu pewarna melekat pada kain dan meningkatkan ketahanan warna.


🌿 Macam Mana Nak Mula?

Kalau anda baru nak cuba pewarnaan fabrik semula jadi, jangan risau—ada beberapa teknik yang mudah untuk dipraktikkan walaupun di rumah. Setiap teknik memberi hasil yang berbeza: ada yang menghasilkan warna rata, ada yang memberi corak daun yang artistik, dan ada juga yang gabungkan kedua-duanya!

Berikut tiga teknik asas yang boleh anda cuba sendiri, bergantung pada gaya dan hasil yang anda inginkan:

1. Pewarnaan Semula Jadi (Natural Dyeing).

🌱Merupakan cara paling asas untuk mewarnakan fabrik menggunakan ekstrak warna daripada tumbuhan:

Langkah 1: Persediaan Mordant.

  • Rendam fabrik dalam larutan mordant (contoh: alum atau cuka) selama 1 jam untuk membantu warna melekat lebih lama.
  • Bilas dan perah lebihan air sebelum pewarnaan.

Langkah 2: Penyediaan Pewarna.

  • Rebus tumbuhan yang dipilih dalam air sehingga keluar warna. 
  • Tapis air untuk membuang sisa tumbuhan sebelum digunakan.

Langkah 3: Pewarnaan.

  • Rendam fabrik dalam larutan pewarna dan kacau secara berkala untuk warna sekata.
  • Rebus fabrik bersama pewarna (rendaman panas) selama 30 minit hingga 1 jam.

Langkah 4: Bilasan dan Pengeringan.

  • Bilas fabrik dengan air sejuk sehingga air bilasan jernih.
  • Jemur di tempat teduh untuk mengelakkan warna pudar.

2. Eco-Printing (Cetakan Semula Jadi).

🌱 Kaedah yang menggunakan daun dan bunga untuk menghasilkan corak unik pada fabrik. Biasanya kaedah ini menggunakan kain kapas atau sutera. 

Langkah 1: Susun Tumbuhan.

  • Atur daun, bunga dan ranting pada fabrik mengikut corak yang diingini.
  • Lipat atau gulung fabrik dengan ketat menggunakan kayu atau paip PVC.
  • Ikat fabrik yang digulung tadi dengan kemas.
  • Ada yang menggunakan kaedah ketukan dengan mengetuk daun/ bunga yang telah diatur pada fabrik sebelum menggulung mereka dengan ketat.

Langkah 2: Pengukusan.

  • Kukus gulungan fabrik selama 1 hingga 2 jam.
  • Biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dibuka untuk hasil warna maksimum.

Hasil Akhir: Corak daun dan bunga akan berpindah pada fabrik, memberikan kesan organik yang unik kerana variasi dalam bentuk daun dan intensiti warna.

Eco-Printing juga boleh dilakukan dengan teknik ini. Sesuai untuk pemula.

3. Bundle Dyeing (Pewarnaan Berbungkus).

🌱 Menggabungkan teknik pewarnaan (serbuk pewarna semulajadi) dan kaedah eco-printing untuk menghasilkan warna berlapis dan bercorak abstrak.

Langkah 1: Campuran Serbuk Pewarna Semulajadi dan Tumbuhan.

Langkah 2: Pengukusan atau Peraman.

  • Kukus gulungan fabrik atau peram dalam plastik selama 24-48 jam untuk warna lebih mendalam.


Tips dan Trik Pewarnaan Fabrik.

Pilih Fabrik Semula Jadi
Kapas, linen, dan sutera paling sesuai kerana lebih menyerap warna semula jadi.

Gunakan Mordant dengan Betul
Mordant seperti alum membantu warna kekal lebih lama dan tidak mudah luntur.

Penjagaan Fabrik
Cuci fabrik dengan tangan guna air sejuk dan sabun lembut. Elakkan jemur bawah matahari terik kerana warna semula jadi mudah pudar.

Eksperimen DIY: Pewarnaan Fabrik Semula Jadi di Rumah

Pernah mencuba pewarnaan fabrik semula jadi sebelum ini? Atau baru nak mula mencuba? Teknik eco-printing seperti yang dijelaskan diatas antara teknik paling mudah bagi mereka yang mahu bereksperimentasi cetakan warna dan corak kecil pada fabrik. Kutip tumbuhan di sekitar, ketuk bahan pada fabrik dan lihat warna apa yang boleh dihasilkan. Makan buah naga pun boleh ambil kulitnya sebagai sumber pewarna.😜

Untuk mewarna keseluruhan fabrik, eksperimen menggunakan tiga bahan tempatan ini adalah langkah pertama yang mudah dan menyeronokkan  jika anda berminat untuk mencuba sendiri. 

Bahan Diperlukan:

✅ Pewarna semula jadi – Kunyit, bunga telang, kulit kayu bakau

✅ Kain putih (kapas atau sutera)

✅ Mordant – Tawas, air cuka, besi berkarat (klik pada nama bahan yang bergaris untuk pembelian atas talian)

✅ Periuk & air

Langkah-langkah:

1️⃣ Sediakan Pewarna

  • Rebus kunyit dalam air selama 30 minit (untuk kuning).
  • Rebus bunga telang selama 30 minit (untuk biru).
  • Rebus kulit kayu bakau selama 40 minit (untuk coklat).

2️⃣ Celup Kain

  • Rendam kain dalam larutan pewarna selama 1 jam.
  • Untuk variasi warna, cuba rendam kain dalam larutan mordant berbeza.

3️⃣ Keringkan & Perhatikan Warna

  • Jemur kain dan lihat perubahan warna sebelum & selepas basuhan.

Hasil & Pemerhatian

Selepas proses ini, kita boleh lihat bagaimana mordant mempengaruhi warna:

Tawas → Kunyit jadi kuning lebih terang, bunga telang jadi biru lebih jelas.

Cuka → Bunga telang berubah jadi ungu.

✅ Besi berkarat → Kunyit bertukar ke warna hijau kusam, warna biru jadi kelabu.

Eksperimen pewarnaan fabrik secara semula jadi sememangnya menyeronokkan. Jom cuba dan cipta rekaan eksklusif anda sendiri. Jangan lupa untuk kongsikan hasil DIY anda di media sosial dan tag kami di #Lamanaifatiya. Kami juga tak sabar nak tengok hasil kreatif anda. 💖


Soalan Lazim Tentang Pewarna Semula Jadi (FAQ)

1. Adakah pewarna semula jadi tahan lama seperti pewarna sintetik?

✔️ Pewarna semula jadi biasanya kurang tahan lama berbanding pewarna sintetik kerana ia tidak mempunyai bahan kimia untuk "mengunci" warna. Namun, dengan penggunaan mordant seperti tawas atau zat besi, warna boleh bertahan lebih lama dan kurang luntur.

2. Bolehkah saya gunakan sebarang jenis kain?

✔️ Fabrik semula jadi seperti kapas, linen, dan sutera lebih sesuai kerana seratnya boleh menyerap pewarna dengan baik. Kain sintetik seperti polyester tidak menyerap warna dengan berkesan.

3. Bagaimana cara menjaga kain yang diwarnakan dengan pewarna semula jadi?

✔️ Basuh dengan tangan menggunakan air sejuk dan sabun lembut. Jangan jemur di bawah matahari terik kerana ia boleh menyebabkan warna cepat pudar.

4. Bolehkah saya campurkan warna dari tumbuhan yang berbeza?

✔️ Ya! Campuran warna boleh menghasilkan tona yang unik. Contohnya, kunyit (kuning) + bunga telang (biru) boleh menghasilkan hijau.

5. Adakah mordant seperti garam logam selamat digunakan?

✔️ Tawas dan cuka selamat digunakan. Zat besi juga selamat tetapi boleh mengotorkan tangan, jadi pakai sarung tangan semasa menggunakannya. Elakkan bahan beracun seperti tembaga atau kromium yang boleh membahayakan kesihatan.

6. Kenapa warna pada kain saya tidak sekata?

✔️ Kemungkinan kain tidak direndam dengan rata atau pewarna tidak cukup pekat. Cuba kacau kain dengan lebih kerap semasa proses celupan.

7. Bolehkah saya guna teknik ini untuk mewarna benang atau bulu haiwan?

✔️ Ya! Sutera dan bulu haiwan (wool) boleh menyerap pewarna dengan baik. Tetapi pastikan tidak menggunakan suhu terlalu tinggi kerana ia boleh merosakkan tekstur kain.

Pewarna semula jadi bukan sekadar warna pada fabrik — ia adalah warisan, ilmu, dan hubungan antara manusia dengan alam. Dengan memahami semula teknik pewarnaan tradisional, kita bukan sahaja menghargai seni tekstil lama, tetapi juga melangkah ke arah gaya hidup yang lebih bermakna. Ia membolehkan kita mencipta rekaan yang unik dan personal. Sama ada untuk pakaian, aksesori, atau hiasan rumah—ianya satu seni yang sangat menyeronokkan untuk diteroka.

💡 Jadi, apa kata cuba sendiri teknik ini di rumah? Guna tumbuhan yang ada sekeliling kita dan alami sendiri pengalaman pewarnaan tradisional yang penuh nilai seni dan alam. 


Rujukan dan Bacaan Lanjut 

Ulasan