Bunga Kertas (Bougainvillea): Cantik, Lasak & Variasi Warnanya

Rasanya di Malaysia, hampir semua peringkat umur kenal si bunga kertas — Bougainvillea. Dengan pilihan warna terang yang mencuri perhatian serta kebolehan mekar hampir sepanjang tahun, bunga ini bukan sekadar penyeri laman. Di sebalik kelopaknya yang ceria, tersembunyi kisah perubatan, sejarah unik, dan sedikit mitos menarik. Nama biasa, tapi rupanya luar biasa! Kalau dah ada satu warna, pasti rasa nak kumpul warna lain pula, kan? 🌺Jom kenali bunga kertas dengan lebih dekat — varieti yang ada di Malaysia dan cara memanfaatkannya dalam landskap!

Ciri Botani Bougainvillea  

🌸Asal-usul dan Nama

Bunga kertas atau Bougainvillea berasal dari Amerika Selatan dan termasuk dalam keluarga Nyctaginaceae. Ia turut dikenali sebagai Bulang (Sabah, Sarawak), Paperflower atau Paper Flower, namun lebih popular dengan nama botaninya. Nama ini diambil sempena Louis Antoine de Bougainville, pelayar Perancis, hasil penemuan oleh ahli botani Philibert Commerson sekitar tahun 1768.

Menariknya, Commerson turut ditemani oleh Jeanne Baret, wanita pertama yang mengelilingi dunia sebagai ahli botani — menyamar sebagai lelaki demi menyertai ekspedisi tersebut!

🌸Struktur Umum:

  • Ketinggian: 1 hingga 12 meter (bergantung kepada varieti dan persekitaran)
  • Cara Tumbuh: Menjalar dan memanjat menggunakan duri tajam pada batangnya
  • Batang: Dahan muda lembut dan hijau, sementara dahan matang menjadi berkayu berwarna coklat
  • Daun: Berbentuk bujur telur dengan hujung runcing, tersusun berselang seli. Sesetengah varieti memiliki daun variegated (bercorak putih-hijau)
  • Bunga vs Brak : Gelaran “bunga kertas” merujuk kepada brakt (bract) — iaitu daun pelindung berwarna-warni yang menyerupai kelopak dan bertekstur nipis seperti kertas.
    • Warna brakt: ungu, merah jambu, oren, putih, kuning dan gabungan pelangi!
    • Bunga sebenar pula kecil, berwarna putih atau kuning pucat, dan tumbuh bertiga di tengah-tengah brakt.

🌸Spesies Asas dan Kacukan

  • Secara botani genus Bougainvillea dikatakan terdiri daripada 18-22 spesies dimana tiga spesies utama dan sering menjadi asas dalam pembiakbakaan ialah:
    • Lesser Bougainvillea (Bougainvillea glabra- dikenali dengan tiub bunga berbentuk pentagon dan brak yang lebih pendek.
    • Great Bougainvillea (Bougainvillea spectabilis) - mempunyai tiub bunga lebih bulat dan brak lebih panjang.
    • Bougainvillea peruviana - turut menyumbang ciri-ciri tertentu dalam kacukan moden.
  • Melalui kacukan tiga spesies ini, kini wujud lebih daripada 100 hingga 200 kultivar hybrid dan varieti tempatan yang boleh didapati di Malaysia — termasuk varieti tempatan serta yang diimport dari Thailand, Singapura dan Indonesia. 
  • Kacukan awal yang terkenal termasuklah ‘Mrs. Eva’, ‘Mrs. Butt’, dan ‘Mrs. McLean’. 

Varieti Bougainvillea Popular di Malaysia

Di pasaran tempatan, bunga kertas hadir dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna — ada yang berbunga lebat, berduri, tidak berduri, berbentuk bonsai, dan ada juga yang dicantum dengan 3 hingga 5 warna dalam satu pokok! 

Berikut beberapa contoh varieti menarik:

  • Bougainvillea ‘TriColor/ Rainbow’πŸ›’
    • Warna : Dwi-warna jingga & merah jambu, juga terdapat kombinasi warna lain.
    • Kategori : Medium, Satu pohon pelbagai warna
    • Kesesuaian : Focal Point, Halaman rumah, Koleksi pengumpul bunga kertas, Topiari

  • Bunga Kertas Batik GantungπŸ›’
    • Warna : Daun batik hijau putih dengan bunga pink ungu.
    • Kategori : Kecil-Medium
    • Kesesuaian : Meja patio, pasu gantung, halaman kecil, apartment

  • Bougainvillea Ekor Musang πŸ›’
    • Warna : Variasi pilihan warna
    • Kategori : Unik, gugusan bunga seakan ekor musang, pokok saiz sederhana-besar
    • Keseuaian : Taman tropika, focal point, tembok tinggi (dibiarkan berjuntai ke bawah)

πŸ’‘ Nota: Klik pada pautan bergambar πŸ›’untuk pembelian anak pokok atas talian.

Kegunaan Bougainvillea dalam Landskap

Apa yang menjadikan Bougainvillea pilihan utama pereka landskap tropika?
  • Pelbagai warna menawan — braktnya hadir dalam merah, ungu, jingga, kuning, putih, malah dwi-warna atau pelangi!
  • Tahan panas & kering — sesuai untuk cuaca Malaysia yang panas dan lembap, tahan berbulan tanpa siraman berlebihan.
  • Mudah dijaga & jimat kos — tidak perlukan tanah istimewa, kurang perosak, tidak memerlukan penjagaan rapi atau kepakaran khas.
  • Mudah dipangkas & dibentuk — boleh dilatih memanjat, dijadikan renek terikat, bonsai atau topiary.
  • Mudah berbunga — lebih banyak cahaya = lebih banyak mekarnya, hampir sepanjang tahun.
  • Berfungsi sebagai pagar berduri — durinya membantu sebagai penghadang semula jadi untuk keselamatan.

Gaya Penanaman Popular:

  • Pagar Hidup
    • Varieti berduri seperti ‘Barbara Karst’ atau ‘Golden Glow’ sesuai dijadikan pagar berwarna-warni dan kukuh.
    • Bunga Kertas ID Ekor Musang sesuai ditepi tembok tinggi berhadapan laluan. Efek bunga bejuntai kebawah seperti ekor dilihat dari laluan tepi tembok memberi kesan visual tertentu.
  • Pasu Gantung & Dinding Menegak
    • Kultivar mini seperti ‘Miss Alice’, ‘Vera Deep Purple’ menjuntai lemah lembut dari pasu atau trellis.
  • Topiary & Bonsai Berbunga
    • Potong dan latih dahan jadi bulatan, piramid atau voila — bonsai tropika yang penuh warna!
  • Pokok Pelangi (Cantuman Pelbagai Warna)
    • Teknik cantuman 3–5 varieti pada satu batang mewujudkan “bougainvillea pelangi” sebagai fokus utama laman.
  • Penutup Cerun & Landskap Panas
    • Akar kuat dan pertumbuhan cepat sesuai tebuk cerun berbatu, cerun jalan atau kawasan panas lain.

Kelemahan Bougainvillea dalam Landskap ⚠️

Walaupun cantik dan praktikal, ada beberapa cabaran yang perlu diambil kira:
  • Duri Tajam
    • Kebanyakan varieti mempunyai duri yang boleh mencederakan. 
    • Elak tanam dekat laluan sempit, taman kanak-kanak atau tempat orang lalu. 
    • Pilih baka bunga kertas yang tidak berduri seperti Bunga Kertas ID La Vie en Rose  πŸ›’untuk kawasan trafik tinggi atau pengguna aktifnya dikalangan kanak-kanak.
  • Tempat Persembunyian Haiwan Kecil
    • Rimbunan dahan berduri boleh menjadi sarang ular, lipan atau semut besar jika tidak dipangkas. 
    • Pemangkasan berkala membantu pastikan bentuk rapi dan selamat.
  • Brakt Mudah Gugur & Berselerak
    • Kelopak palsu (brakt) yang nipis gugur terutamanya di cuaca kering, boleh meninggalkan serpihan di laman berjubin atau berpasir, memerlukan pembersihan kerap.

🌺 Nilai Perubatan Tradisional Bougainvillea

Walaupun bukan herba utama dalam perubatan Melayu, pokok bunga kertas atau Bougainvillea spp. telah digunakan dalam perubatan tradisional di beberapa negara tropika seperti Filipina, Mexico, dan Brazil.

Antara kegunaannya termasuk:
  • Merawat batuk dan sakit tekak
    • Air rebusan bunganya (dalam bentuk teh herba) diminum untuk melegakan batuk ringan atau keradangan tekak.
  • Membantu masalah pencernaan ringan
    • Akar digunakan secara tradisional sebagai julap ringan untuk sembelit. Bunga pula kadang-kadang digunakan untuk meredakan cirit-birit ringan.
  • Mandian tradisional dan rawatan kulit
    • Daun yang direbus kadang-kadang digunakan untuk mandian herba bagi keradangan ringan atau ditampal pada luka kecil.

Ketoksikan

  • Walaupun tidak dikategorikan sebagai tumbuhan beracun, getah bunga kertas boleh mendatangkan ruam teruk pada kulit, sama dengan spesies-spesies genus Toxicodendron. 
  • Varieti seperti Bougainvillea glabra juga sedang dikaji kerana potensi sebagai insektisid botani.

⚠️ Peringatan Penting:

  • Info ini bukan pengganti rawatan moden. Amalan perubatan bersifat tradisional dan belum diuji sepenuhnya oleh kajian saintifik moden. Sila rujuk pakar kesihatan jika ada sebarang masalah perubatan.
  • Elakkan dos berlebihan. Sesetengah bahagian pokok bunga kertas, seperti getah dan batang, boleh merengsakan kulit atau toksik jika diambil secara tidak terkawal.
  • Tidak sesuai untuk wanita mengandung dan kanak-kanak kecil tanpa nasihat pengamal kesihatan.
  • Pastikan sumber bebas racun serangga jika digunakan untuk tujuan dalaman.

Kegunaan Kulinari Bougainvillea 🍽️ 

Walaupun bukan tumbuhan makanan utama, brakt Bougainvillea daripada varieti tertentu boleh digunakan dalam masakan – menjadikannya antara tumbuhan hiasan yang eksotik dan boleh dimakan dalam jumlah kecil.

🌸 Contoh Kegunaan:
  • Telur dadar bunga kertas
    • Digemari di kalangan pencinta masakan herba — warnanya yang terang memberi tarikan visual menaikkan mood dan dikatakan bagus untuk masalah keputihan namun tiada rekod kajian mengenainya.
    • Bukan sebagai menu harian. 
  • Teh herba Bougainvillea
    • Digunakan di beberapa negara Asia Selatan dan Latin seperti India dan Mexico. Brakt bunga kering direndam untuk menghasilkan teh ringan yang dipercayai melegakan tekak dan menyegarkan badan.
    • Di Mexico, Bougainvillea digabungkan dengan herba lain sebagai tonik semulajadi untuk batuk dan masalah pernafasan ringan. 
⚠️ Pastikan bunga yang digunakan bebas racun perosak dan ditanam secara organik. Hanya guna bahagian brakt (bukan batang atau getah), dan elakkan daripada penggunaan berlebihan.

πŸ₯š Resipi Ringkas: Telur Dadar Bougainvillea

Resipi istimewa untuk penggemar taman dan dapur — cantik, berkhasiat dan penuh gaya tropika!
Bahan-bahan:
  • 2 biji telur
  • Secukupnya brakt Bougainvillea (brakt daripada 5 -6 kuntum bunga kertas)—kebiasaannya varieti pink keunguan dikatakan manis tetapi boleh cuba warna lain secara berasingan (jangan campur warna) dan dalam dos rendah dahulu. Pastikan bersih & organik.
  • 1 ulas bawang merah, dihiris halus
  • Sedikit garam & lada
  • Minyak untuk menggoreng
Cara Penyediaan:
  1. Cuci bersih bunga kertas dan toskan.
  2. Ambil brakt bunga dan mayang halus ikut citarasa. 
  3. Pukul telur bersama garam, lada, dan bawang.
  4. Masukkan hirisan kelopak bunga dan kacau rata.
  5. Panaskan minyak dan goreng seperti telur dadar biasa.

Bougainvillea dan Sensitiviti Budaya 

Dalam budaya Filipina dan Amerika Latin, Bougainvillea dikaitkan dengan:
πŸ’ž Lambang cinta, semangat, dan keberanian

Namun bukan semua pihak menerima bunga kertas sebagai simbol positif dengan warnanya. Dalam bacaan kami ketika menyediakan blogpost ini, Bougainvillea kurang digemari oleh sesetengah masyarakat Cina di Malaysia. Ini kerana:

πŸ“Œ Dikaitkan dengan kertas sembahyang

  • Brakt yang nipis, berlapis dan mudah luruh kadangkala menyerupai “hell money” atau kertas sembahyang yang dibakar dalam upacara penghormatan roh nenek moyang. 
  • Warna merah jambu cair dan ungu muda terutama sering dikaitkan dengan kepercayaan ini.

πŸ“Œ Faktor simbolik dan feng shui

  • Ada yang percaya bunga ini kurang membawa tuah jika ditanam berhampiran pintu masuk rumah. 
Kepercayaan ini tidak dipegang oleh semua — ramai juga yang menikmati keindahan Bougainvillea sebagai pokok tahan lasak dan rendah penyelenggaraan, terutama varieti mini yang sesuai untuk pasu.

✨ Nota mesra: Dalam menanam tumbuhan, mempertimbangkan sensitiviti budaya dan susun atur kawasan kediaman juga boleh membantu mencipta taman yang lebih harmoni untuk semua penghuni.

Mitos & Pantang

  • Ada yang percaya pokok ini tempat ‘berpenunggu’ bila tumbuh besar & rimbun, terutama bila tumbuh dekat pagar rumah lama. 
    • Hakikatnya apabila pohon terbiar tanpa penyelenggaraan dalam tempoh lama, ia menjadi lokasi pilihan yang selamat untuk penunggu reptilia seperti ular , biawak bersarang di celahan pokok. Teduhan yang lebat, ranting berduri memberi suasana yang selesa buat mereka.
  • Bila terlalu banyak berbunga, dikaitkan dengan “tenaga rumah yang panas”
    • Secara logik, bunga kertas sememangnya sukakan cahaya matahari untuk berbunga dan ia merupakan petunjuk pokok ini stress air/ musim panas, bukannya mistik!

Penjagaan Ringkas Bougainvillea 🌿 

Bougainvillea memang jenis tak cerewet — sesuai untuk yang baru mula berkebun! Tapi kalau nak dia berbunga meriah, rajin-rajinlah pangkas dan bagi baja bunga πŸ˜‰

☀️ Cahaya : 

  • Bunga kertas memerlukan matahari penuh sekurang-kurangnya 6 jam sehari untuk berbunga dengan baik.
  • Tanpa cahaya matahari yang cukup, bunga kertas tidak berbunga/ kelihatan seperti mabuk daun.

πŸ’§ Siraman

🌱 Tanah

  • Pokok bunga kertas tidak memilih jenis tanah — asal tak bertakung air seperti tanah liat.
  • Untuk hasil terbaik, guna tanah poros (campuran pasir + kompos ringan).

🌸 Baja

✂️ Pemangkasan

  • Kerap pangkas untuk bentuk pokok dan merangsang cabang baru.
  • Pemangkasan selepas musim berbunga boleh bantu tumbesaran sihat.
  • Pemangkasan berkala mengelakkan pokok jadi terlalu padat dan membantu bentuk kekemasan dan keseimbangan warna jika ia baka yang dicantum.
  • Sekiranya ditanam berdekatan rumah/ bangunan, pastikan kawasan penanaman tidak sempit atau dekat dengan tingkap atau lubang bangunan. Pohon perlu dipangkas supaya tidak terlalu rimbun untuk pengaliran udara dan mengurangkan risiko serangga atau haiwan bersarang sehingga masuk ke dalam bangunan.
  • Susun pokok di lokasi strategik — biar ada ruang di hadapan dan belakang batang untuk memudahkan penyelenggaraan. 

🌱 Pembiakan & Kaedah Cantuman

Semak jenis tanaman yang anda beli — ada dijual sebagai anak pokok, keratan batang, atau hasil cantuman. Pastikan tahu perbezaannya untuk penjagaan yang tepat.
Keratan Batang:
Kaedah paling popular dan mudah:
Kaedah Tut (Marcot):
  • Digunakan untuk hasilkan anak pokok yang lebih cepat berakar dan bersaiz besar.
Kaedah Cantuman (Grafting):
  • Pokok matang boleh dicantum dengan varieti lain — menghasilkan satu pokok dengan pelbagai dahan berbunga warna berbeza seperti merah, oren, ungu dan putih!
  • Pokok jenis ini dikenali sebagai Bougainvillea Pelangi🌈, dan sering menjadi tumpuan di pintu masuk rumah atau sebagai titik fokus taman. Namun, penjagaan seimbang penting — pastikan semua cabang varieti tumbuh seragam dan tidak 'menguasai' yang lain.

Siapa sangka bunga yang dulu menghiasi halaman rumah kampung, kini menjadi elemen berprestij dalam reka bentuk landskap moden? Bougainvillea terus berevolusi — dari satu warna ke pelbagai rona eksotik, dari jenis memanjat ke jenis mini bonsai. Setiap varieti menawarkan karakter tersendiri: ada yang sesuai untuk pergola romantik, dinding berbunga, pagar sempadan, atau pasu hiasan.

Nak mula tanam satu?
✨ Pilih ikut fungsi (pagar, pemanjat, focal point) dan warna kegemaran anda.
✨ Yang penting — cukup cahaya, rajin pangkas, dan beri baja berbunga.

Tak cerewet, tapi tetap memukau.
Itulah Bougainvillea — si bunga tropika yang tak jemu menari di bawah mentari. 🌿

Anda dah jumpa varieti kegemaran anda? Komen di bawah atau kongsikan pengalaman anda dengan bunga kertas ✨ Jangan lupa follow FB Page kami di Laman AifaTiya untuk blogpost terbaru :)

Rujukan Tambahan

Ulasan