
Nama Gelaran Annona muricata
Durian Belanda (Annona muricata) sebenarnya tidak tergolong dalam keluarga yang sama dengan durian biasa. Gelaran "durian" diberikan mungkin kerana bentuk dan warnanya yang menyerupai durian (Durio zibethinus), manakala gelaran "belanda" pula dipercayai berasal daripada pengaruh penjajahan Belanda di Asia Tenggara suatu ketika dahulu — atau mungkin juga merujuk kepada isi buahnya yang berwarna putih.
Tumbuhan ini berasal dari Amerika Tengah dan Selatan serta Kepulauan Caribbean.
Antara nama panggilan lain bagi durian belanda di seluruh dunia:
- Eropah & Amerika : Soursop, Graviola
- Indonesia : Nangka Belanda, Sirsak
- Thailand: Thu-Rian Khaek
- Filipina: Guyabano
Ciri Botani Durian Belanda
Struktur bunga dan buah durian belanda lebih menyerupai sepupunya dalam famili Annonaceae seperti nona (Annona squamosa) dan cherimoya, berbanding durian biasa yang sebenarnya berasal dari famili botani berbeza iaitu Malvaceae. Jadi, walaupun berkongsi gelaran “durian”, keduanya langsung tiada pertalian keluarga botani! π
✨ Spesifikasi Ringkas:
- Ketinggian: Pokok kecil hingga sederhana, boleh mencapai 5–8 meter.
- Daun:
- Licin, berkilat (glossy),
- Bujur memanjang.
- Buah:
- Kulit hijau nipis, berduri halus dan lembut.
- Isi buah berwarna putih lembut, berserat, mengandungi banyak biji kecil berwarna hitam.
- Rasa masam manis yang menyegarkan.
- Bunga :
- Bunga berwarna kuning kehijauan.
- Struktur bunga seperti dalam gambar dengan 6 kelopak bunga (3 diluar tebal berdaging, 3 di dalam lebih nipis).
- Bunga mekar dalam dua peringkat (protogynous): bahagian betina matang dahulu sebelum bahagian jantan – ciri biasa dalam famili Annonaceae.
- Tumbuh secara tunggal atau berpasangan disebalik daun atau batang.
- Mengeluarkan bau tersendiri untuk menarik pendebunga seperti kumbang.

Perbandingan Durian Belanda vs Durian Biasa
Walaupun kedua-duanya dipanggil “durian”, terdapat banyak perbezaan ketara dari segi botani, struktur buah dan juga rasa:
- Famili Botani : Durian Belanda (Annona muricata) dikelaskan dalam keluarga Annonaceae manakala Durian Biasa (Durio zibethinus) dikelaskan dalam keluarga Malvaceae dulu diklasifikasikan sebagai Bombacaceae.
- Asal-usul : Durian Belanda bukan tumbuhan tempatan. Ia mungkin telah dibawa masuk ketika zaman penjajahan manakala Durian sememangnya tumbuhan asal Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia, Thailand)
- Bentuk Buah : Durian belanda biasanya seakan bentuk jantung dan beragam manakala durian biasa lebih bulat kecuali untuk variasi tertentu - durian jantung
- Kulit Buah : Kulit buah durian belanda nipis, berwarna hijau bertukar kehitaman apabila terlalu tua, berduri lembut dan kecil. Kulit durian pula diketahui umum tebal, berduri tajam dan keras dengan ton warna hijau berbeza mengikut variasi. Ada durian yang memiliki kulit berwarna coklat kekuningan seperti durian tembaga.
- Isi Buah : Durian belanda memiliki isi berwarna putih, tekstur lembut, dengan rasa masam manis manakala isi buah durian bergantung kepada variasi biasanya kuning/putih dengan rasa lemak manis atau pahit.
- Bau : Bau buah durian belanda lebih lembut, sedikit masam manakala bau durian sangat kuat, tajam menyengat sehinggakan ia dilarang untuk dibawa naik dalam kenderaan awam. Jika baru menikmati atau membeli durian, sukar untuk sorokkan baunya.π
- Biji : Biji benih durian belanda bersaiz kecil dengan kulit luar yang keras bewarna hitam dalam kuantiti yang banyak. Biji benih durian lebih besar dalam kuantiti sedikit serta lebih lembut mudah terpotong.
- Ketinggian Pokok : Pokok durian belanda kategori pokok kecil/ sederhana sesuai untuk kebun kecil dengan ketinggian 5–8 meter manakala pokok durian merupakan pokok besar yang boleh mencapai 40 meter dan usia lebih 100 tahun. Durian biasa lebih sesuai ditanam jauh dari rumah atau kebun/ ladang yang lebih luas kerana saiznya yang besar serta buahnya yang keras jika gugur akan merosakkan struktur bangunan.
Kegunaan Pokok Durian Belanda Dalam Landskap
Pokok durian belanda mudah dijaga, tidak memerlukan ruang besar dan sesuai ditanam di halaman rumah, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan panas dengan tanah gembur serta saliran baik.
Dalam dunia landskap tropika, durian belanda sering dimanfaatkan sebagai:
π Pokok naungan kecil – sesuai ditanam berhampiran pagar atau dalam pasu besar.
π Tanaman edibel landskap – sering dimasukkan dalam rekaan taman tropika yang boleh dituai.
π Pokok taman kesihatan – ditanam bersama herba ubatan untuk tema berasaskan kesihatan.
π Pokok taman buah-buahan eksotik – nilai estetika yang tinggi serta menjadi tarikan visual dan edibel.
π Focal point kecil – kanopi rendang dan daun hijau berkilat menjadikannya penarik utama dalam sudut tertentu taman edibel.
πΈTip landskap:
Gabungkan durian belanda dengan herba tropika seperti misai kucing, pegaga, atau kunyit untuk mewujudkan sudut "taman kesihatan" yang seimbang antara kecantikan dan kegunaan.
Khasiat Kesihatan Durian Belanda
Di sebalik rasanya yang lazat, durian belanda turut dikenali sebagai "superfruit" atau tumbuhan yang kaya manfaat kesihatan. Ia bukan sekadar buah pencuci mulut, tapi juga antara herba semula jadi yang digunakan secara tradisional dalam pelbagai budaya.
Antara khasiat utama durian belanda:
πΏ Mengandungi antioksidan – Daun dan buahnya kaya dengan sebatian seperti acetogenin, yang membantu melawan radikal bebas dalam badan.
πΏ Sokongan sistem imun – Kandungan vitamin C dalam buah ini menyumbang kepada pertahanan badan yang lebih kuat.
πΏ Menenangkan dan bantu tidur – Teh daun durian belanda dikatakan membantu menenangkan saraf dan memperbaiki kualiti tidur.
πΏ Potensi antikanser – Walaupun masih dalam kajian, beberapa penyelidikan menunjukkan ekstrak durian belanda mempunyai kesan antitumor terhadap beberapa jenis sel kanser.
πΏ Merawat tekanan darah tinggi dan kencing manis secara tradisional – Di beberapa negara, rebusan daun segar (beli disini) atau buah digunakan dalam rawatan alternatif untuk menstabilkan tekanan darah dan paras gula.
πΏAnti-radang – Digunakan untuk mengurangkan bengkak dan sakit sendi.
πΏUbat cacing – Biji buah durian belanda digunakan secara alternatif untuk rawatan kecacingan dalam dos kecil.
❗Peringatan :
Penggunaan berlebihan atau jangka panjang mana-mana bahagian dari pokok durian belanda (terutama dalam bentuk ekstrak pekat) harus dilakukan dengan berhati-hati. Rujuk pakar kesihatan dan dapatkan nasihat pengamal perubatan herba yang benar-benar arif jika ingin menggunakannya sebagai rawatan alternatif.
Durian Belanda Sebagai Makanan & Minuman
Pokok durian belanda tidak mempunyai rekod penggunaan secara meluas dalam bidang kraftangan, pewarna semula jadi atau pembuatan perabot dan sebagainya kerana kayunya tidak cukup tahan dan mudah mereput manakala daunnya tidak meninggalkan tanda (stain). Ia lebih popular untuk penggunaan dapur.
Isi buah durian belanda bukan sekadar sedap dimakan begitu sahaja, malah sangat versatil dalam pelbagai sajian! Rasa masam manisnya yang menyegarkan menjadikannya pilihan popular dalam dunia kulinari, terutama untuk pencuci mulut dan minuman sejuk.
Di Malaysia, ia lebih digemari sebagai jus dan aiskrim berbanding dimakan begitu saja.
✨ Antara kegunaan durian belanda dalam makanan & minuman:
- Jus segar : Antara yang paling popular! Kisar isi durian belanda tanpa biji bersama air dan sedikit gula atau madu. Sesuai diminum sejuk ketika cuaca panas.
- Aiskrim & popsikel : Isi durian belanda boleh dicampur ke dalam adunan aiskrim homemade, atau dibuat popsikel yang sesuai untuk kanak-kanak.
- Smoothie & milkshake : Dicampur dengan susu segar, yogurt, atau susu beras untuk smoothie yang sihat dan mengenyangkan.
- Pai & tart : Isi buah boleh dijadikan inti pai bersama kelapa atau kastard untuk rasa tropika yang unik.
- Jem : Dengan sedikit gula dan asid (contohnya jus lemon), boleh dimasak menjadi jem untuk sapuan roti atau topping pencuci mulut.
- Salad buah : Dihiris dan dicampur bersama buah lain atau dinikmati tanpa campuran, sesuai dijadikan hidangan pemanis mulut.
π‘ Tip: Elakkan memakan biji durian belanda kerana ia mengandungi bahan toksik jika dimakan mentah dalam jumlah banyak.
Produk berasaskan durian belanda yang boleh didapati di pasaran:
- Jus Durian Belanda Promaxx (bentuk serbuk)
- Jus Durian Belanda Desa Ville (bentuk cecair)
- Pati Asli Durian Belanda Aleem
Resipi Ringkas: Aiskrim Durian Belanda Homemade π¨
Bahan-bahan:
- 1 cawan isi durian belanda (buang biji)
- 1/2 cawan susu pekat
- 1/2 cawan susu cair
- 1/2 cawan whipping cream (jika ada, lagi lemak berkrim)
- Sedikit air jika perlu
Cara:
- Kisar semua bahan hingga halus dan sebati.
- Tuang dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti ais (4–5 jam).
- Kacau setiap 1 jam untuk 2 kali pertama supaya tidak menjadi kristal air batu/ terpisah struktur air dan seratnya.
- Sedia dihidang! Boleh tabur badam, chia seed atau topping kesukaan.
π¦ Sesuai sangat untuk cuaca panas! Anak-anak pun suka sebab rasa masam manis dan tekstur creamy.
Pembiakan dan Penjagaan
✅ Sesuai ditanam di tanah atau dalam tong besar
✅ Tanah : Tanah bersaliran baik yang kaya dengan bahan organik.
✅ Matahari : Sukakan matahari penuh terutama untuk berbunga dan berbuah
✅ Air : Perlu air mencukupi tetapi bukan berlebihan dan elakkan tanah bertakung air/ terlalu kering dalam tempoh yang panjang.
✅ Biji benih: Ambil masa 3–5 tahun untuk berbuah
✅ Untuk cepat berbuah: Guna kaedah tut, keratan, atau cantuman
✅ Dapatkan anak pokok durian belanda atas talian di sini.
Pokok durian belanda bukan sahaja membawa nostalgia dan keenakan tropika, tetapi juga kaya nilai perubatan dan estetik landskap. Bagi pencinta tumbuhan, peminat jus segar, atau mereka yang sukakan gaya hidup sihat — pokok ini sememangnya berbaloi untuk dimiliki di laman rumah! Anda peminat durian belanda atau durian biasa? Jika ada kisah yang ingin dikongsikan boleh tinggalkan komen π
Bacaan Tambahan
- Wikipedia - Soursop
- NParks - Annona muricata
- National Library of Medicine - Annona muricata (Annonaceae): A Review of Its Traditional Uses, Isolated Acetogenins and Biological Activities. , Int J Mol Sci. 2015 Jul 10;16(7):15625–15658. doi: 10.3390/ijms160715625
- YouTube - Plants Review UK - Soursop - Annona muricata : a blend of pineapple, passionfruit, banana and strawberry flavours
Ulasan