Pokok Jenis Mana Sesuai Tanam Sekitar Rumah Tanpa Rosakkan Simen?

Sejak dahulu, pencinta tumbuhan dan peminat suasana kampung yang tinggal di bandar gemar menanam pokok buah, bunga, atau teduhan di halaman rumah. Selain menyegarkan suasana, efek sejuk, pokok memberi hasil, mencantikkan landskap, dan menjadi terapi selepas penat bekerja.

Namun, tidak semua pokok sesuai ditanam berhampiran rumah — terutamanya di kawasan berturap, dekat longkang, tangki septik, atau tembok konkrit. Semakin ramai kini mula sedar tentang pentingnya memilih pokok yang sesuai dengan saiz dan struktur laman. Sesetengah pokok, walaupun cantik dan bernilai, mempunyai akar agresif, buah yang berat, atau kanopi besar yang boleh merosakkan struktur binaan.

Untuk topik kali ini, kita akan fokus pada kerosakan akibat akar pokok — satu isu yang sering diabaikan sehingga masalah timbul.

Betul ke Akar Pokok Boleh Retakkan Simen Rumah Kita?

Jawapan ringkasnya: ya, tapi bukan semudah itu.

Ramai orang sangka akar pokok ‘menyondol’ terus ke simen dan tembok sampai pecah. Tapi hakikatnya, keretakan struktur lebih kerap berlaku disebabkan perubahan pada tanah dan bukan semata-mata kerana akar.

Akar pokok memang aktif, tapi apa yang lebih mempengaruhi ialah jenis tanah dan bagaimana tanah itu berubah mengikut cuaca.

Contohnya:
  • Tanah liat (clay soil) akan mengembang bila basah dan mengecut bila kering. Akar yang menjalar akan tambah tekanan kepada tanah jenis ini, lalu tanah ‘bergerak’ dan menyebabkan simen merekah.
  • Kalau kawasan rumah berada atas tanah berpasir atau berbatu, akar mudah menembusi dan tanah lebih senang beralih, lalu menyebabkan struktur jadi tak stabil dari bawah. Dalam kes ini, akar bukan pelakunya yang sebenar, tapi ‘pencetus’ kepada pergerakan tanah — dan dari situ, struktur macam simen, longkang, atau lantai mula retak, tenggelam, atau mendap.
Bukan semua pokok mempunyai akar yang menganggu dan merosakkan. Biasanya pokok yang berakar agresif dan besar seperti pokok Beringin, Nangka, Kelor dewasa, dan Pokok getah (kalau orang cuba tanam untuk teduhan) lebih cenderung memberi kesan kepada struktur bila ditanam terlalu dekat dengan bangunan, longkang atau tangki septik.

Pokok kecil pun boleh jadi masalah, kalau kawasan sempit dan tanah padat — sebab akar terpaksa ‘berjuang’ cari air, lalu menekan ke mana-mana ruang yang ada, termasuk bawah simen.

Kesimpulannya, kerosakan selalunya berpunca daripada akar yang tumbuh membesar dan menyusup masuk ke rekahan kecil — rekahan yang asalnya terjadi kerana pergerakan atau perubahan pada struktur tanah.

Pertimbangan Sebelum Menanam Pokok di Halaman Rumah

1. Jarak Pokok Dengan Struktur

  • Pastikan jarak minimum dari rumah, longkang, tangki septik, atau pagar.
  • Umumnya, elak tanam pokok besar dalam jarak kurang 2–3 meter dari binaan tetap.
  • Lagi besar pokok bila dewasa, lagi jauh jarak minimum yang diperlukan.

2. Jenis Akar Pokok

  • Kenal pasti sama ada pokok berakar serabut, akar tunjang, atau akar agresif.
  • Pokok seperti pokok ara, beringin, getah, nangka, kelor, ceri kampung dan seumpamanya biasanya berakar kuat dan menjalar jauh.

3. Kadar Pertumbuhan Pokok

  • Pokok yang cepat besar selalunya menghasilkan sistem akar yang agresif.
  • Jika tanah sempit, pilih pokok lambat membesar atau pokok renek yang boleh dikawal dengan pemangkasan.

4. Jenis Tanah di Kawasan Rumah

  • Tanah liat mudah kembang dan kecut → lebih risiko rekahan simen.
  • Tanah berpasir/berbatu mudah beralih → kurang stabil untuk akar pokok besar.

5. Saiz Dewasa Pokok

  • Jangan tertipu dengan anak pokok yang kecil — semak info tinggi maksimum, lebar kanopi, dan tabiat pertumbuhan akar pokok itu bila matang.

6. Sistem Saliran & Paip Bawah Tanah

  • Elakkan tanam pokok berdekatan saluran paip, kerana akar akan ‘mencari’ sumber air jika paip bocor.
  • Akar boleh masuk celah retak dan membesarkan kerosakan.

7. Tujuan Penanaman

  • Pokok untuk teduhan, pemandangan, hasil buah atau ubat? Tujuan ini bantu pilih pokok sesuai dengan ruang dan penjagaan.

8. Ruang & Akses Penjagaan

  • Boleh ke pokok itu dipangkas berkala?
  • Ada ruang untuk akar berkembang tanpa ganggu binaan?
  • Kalau perlu ditebang nanti, boleh ke akses jentera/pemotong?
  • Tenaga isi rumah/ kos penyelenggaraan halaman?

Ciri Pokok Teduhan Selamat untuk Dekat Rumah

Kalau tujuan utama adalah untuk lindungan panas dan tambah privasi, ini beberapa cadangan pokok yang lebih sesuai ditanam di kawasan berdekatan rumah — sama ada di tepi pagar, sisi rumah atau tengah laman (jika cukup ruang).

1. Pokok Berakar Terkawal & Boleh Pangkas

  • Kemboja/ Plumeria - Akar tidak agresif, kanopi boleh dibentuk. Sesuai di tepi tembok, tidak cepat tinggi.
  • Pokok Melati (Wrightia religiosa) - Selalu dijadikan bonsai atau pagaran hidup. Boleh jadi rimbun dan tinggi jika tidak dipangkas, tapi mudah dikawal.
  • Cempaka Kedah (Gardenia sp.) - Lebih kecil dari cempaka kampung biasa, akar lebih terkawal. Wangi & sesuai jadi pokok teduh sederhana.
  • Belimbing Buluh , Cermai - akar tidak agresif dan mudah dikawal pertumbuhannya.
  • Bunga Kertas (Bougainvillea sp.) - Akar utama boleh menebal, tapi kebanyakan akarnya halus dan serabut. Risiko kepada struktur: Rendah ke sederhana (jika tanam terus atas tanah dan biarkan besar lama kerana akar pokok tua boleh jadi agak besar, terutama jika ditanam terus ke tanah dan dibiar tumbuh berpuluh tahun. Tapi ia masih bukan jenis akar agresif yang suka pecahkan simen. Sesuai ditanam dalam pasu besar, juga boleh dijadikan bonsai.

2. Pokok Sesuai untuk Dalam Pasu Besar (Tapi Tetap Rimbun)

  • Pokok Tin / Fig - Boleh jadi besar jika tanam terus, tapi sangat sesuai dikekang dalam pasu besar.
  • Zaitun - Tumbuh perlahan (slow grower) boleh dirimbunkan dan berdaun kecil — sesuai dengan iklim panas.
  • Bunga Tanjung - Wangi, rimbun, tak terlalu tinggi. Kalau ditanam di batas bertepi konkrit, lebih mudah dikawal.

3. Alternatif Teduhan Rendah (Pagaran Hijau yang Rimbun)

  • Bagi ruang yang terhad dan tidak mahu risiko akar, boleh guna kombinasi pagaran hijau seperti: Puding, tecoma mini, pokok teh-tehan, kelat paya, kemuning atau duranta kecil — semuanya boleh jadi semak rimbun untuk privasi dan teduh separa.
  • Pokok bunga raya antara pokok yang biasa menghiasi laman. Ia jenis akar serabut, tidak terlalu dalam atau menjalar jauh dan berisiko rendah merosakkan struktur. Masalah hanya akan timbul jika dibiarkan membesar tanpa kawalan (terutama jenis kampung lama) kerana ia boleh jadi besar dan tinggi. Sesuai dijadikan pokok pagar atau sempadan. Boleh tanam agak dekat dengan tembok jika jaraknya 1 kaki atau lebih.

📌 Tip:
  • Elak tanam terlalu rapat dengan rumah. Walaupun pokok 'selamat', jangan tanam dalam jarak kurang 1 meter dari tembok.
  • Gunakan teknik pangkasan berkala. Bina bentuk kanopi ikut keperluan — sama ada lebar untuk lindungan atau tinggi untuk halang pandangan.
  • Gunakan kawalan akar (root barrier) atau pasu tertanam jika tetap mahu tanam pokok besar di ruang terhad.

Pokok yang Tidak Sesuai Ditanam Dekat Struktur Rumah

Tidak semua pokok sesuai ditanam berhampiran rumah, longkang, atau kawasan berturap. Ada yang nampak cantik dan bermanfaat, tetapi akarnya boleh mendatangkan masalah jangka panjang. Berikut ciri-ciri pokok yang tidak sesuai ditanam dekat dengan struktur rumah.

1. Akar agresif & menjalar jauh

  • Contoh: pokok beringin, getah, ara, mangga tua, betik
  • Akar jenis ini ‘merayap’ jauh dan boleh menolak simen atau paip bawah tanah.

2. Tinggi & kanopi besar

  • Contoh: kelor matang, ceri kampung, nangka, durian belanda, mata kucing
  • Kanopi berat boleh menyebabkan dahan patah, akar pula mencari ruang lebih jauh untuk sokongan.

3. Buah berat atau banyak gugur

  • Contoh: durian, rambutan, jambu batu besar
  • Buah yang jatuh boleh merosakkan atap, lantai simen atau longkang.

4. Suka tanah lembap atau kawasan lembah

  • Contoh: Heliconia, Costus, Pisang, Tebu, Lengkuas, Kantan
  • Tanaman begini akarnya suka ‘membelah’ tanah dan menyimpan air – boleh percepatkan keretakan kawasan berturap.
  • Ramai sangka hanya pokok besar dan berakar tunjang yang bahaya — sedangkan pokok berumpun, berakar serabut atau rizom tebal seperti kantan, lengkuas, heliconia dan costus juga boleh menyebabkan kerosakan jika terlalu padat atau dibiarkan menjalar ke kawasan binaan.
  • Rizom dan umbisi yang membesar akan mula menekan struktur di bawahnya — terutamanya jika konkrit itu lama, nipis, atau tidak bertetulang. 
  • Malah kalau nak lupuskan pokok jenis ini pun agak sukar — kena gali bersih hingga ke sisa akar, kerana cebisan kecil pun boleh tumbuh semula.

5. Akar mudah diserang penyakit atau anai-anai.

  • Contoh : pokok getah, Bucida.
  • Sesetengah pokok besar bila dah tua atau cedera akan mula reput dari bawah. Akar yang lemah jadi tempat lembap sesuai untuk anai-anai bersarang — bukan saja risiko pokok tumbang, tapi boleh jadi jalan ‘masuk’ serangga serta haiwan perosak ke rumah.

6. Pokok yang tetap tumbuh semula walau ditebang

  • Contoh: Kelor, Lemuni, Senduduk, Jarum 7 bilah, Bebuas
  • Pokok jenis ini mempunyai akar hidup (vital root system) yang sangat kuat. Walaupun ditebang sampai paras tanah, ia akan tumbuh semula dari tunggul atau akar yang tertinggal. Kalau ditanam terlalu dekat struktur, sukar untuk dilupuskan sepenuhnya kerana cebisan kecil pun boleh hidup balik. Ini menyukarkan kawalan dan boleh jadi masalah berulang.

📌 Nota Tambahan:

Walaupun pokok-pokok ini cantik dan berguna, ia lebih sesuai ditanam di kawasan luas atau kebun, atau dalam pasu besar (jika boleh kawal pertumbuhannya). Jangan tanam terlalu hampir dengan struktur kekal seperti rumah, pagar, longkang atau tangki septik.

Kalau Dah Terlanjur Tanam Pokok Berakar Kuat?

Jangan panik. Masih ada langkah yang boleh diambil untuk kurangkan risiko kerosakan:

✔️ Pangkas akar utama sejak muda – jangan tunggu pokok besar baru mula kawal, terutama pokok jenis cepat membesar.

✔️ Potong dahan besar setiap 3–6 bulan – supaya kanopi tak terlalu berat dan tak ‘memaksa’ akar menyebar luas.

✔️ Letak penghadang akar ringkas – contohnya batu bata, dinding konkrit cetek, atau pasu besar untuk halang akar dari masuk ke kawasan struktur.

✔️ Alih ke pasu besar jika masih kecil – sangat disarankan untuk pokok seperti kelor, nangka kecil, atau heliconia.

✔️ Perhatikan tanda awal – seperti tanah merekah, simen mula retak, atau air bertakung yang luar biasa selepas hujan.


⚠️ Bila Pokok Dah Besar dan Dekat Sangat Dengan Struktur?

Kalau pokok dah berumur, tinggi, dan terlalu hampir dengan longkang, dinding rumah atau tangki septik:

🔧 Dapatkan nasihat tukang kebun / kontraktor berpengalaman. Kadang-kadang akar dah masuk terlalu dalam dan perlukan tindakan khas.

🌳 Tebang bukanlah tindakan kejam. Dalam sesetengah kes, tebang lebih jimat dan selamat berbanding baik pulih kerosakan.

⛏️ Jangan abaikan jika nampak rekahan atau mendapan. Pokok mungkin ‘nampak elok’ tapi akar bawah tanah sedang aktif menekan struktur.


Pokok boleh jadi sahabat rumah — asalkan kita faham cara memilih dan menjaganya.

Bukan semua pokok sesuai ditanam berhampiran struktur binaan seperti rumah, longkang dan tangki septik. Isunya bukan sekadar akar yang agresif, tapi juga ruang, jenis tanah, tujuan penanaman, dan tahap penjagaan. Kadang-kadang, pokok menjalar yang dianggap selamat seperti Akar Dani atau Garlic Vine juga boleh menjadi beban jika dibiarkan tumbuh bebas tanpa sokongan kukuh. Begitu juga pokok hiasan beracun atau berduri seperti Cycas revoluta dan Hura crepitans bukan kerana akar, tapi kerana keselamatan.

Jika kita sudah terlanjur menanam pokok berisiko, jangan panik. Banyak langkah boleh diambil: pangkas akar, hadkan kanopi, alih ke pasu, atau gunakan penghadang akar. Yang penting, kita peka dan bertindak awal sebelum timbul kerosakan atau kos baik pulih yang lebih besar. Jangan tanam kerana ikut trend semata — rancang dulu, tanam dengan ilmu, jaga dengan kesedaran.

🌟 Nak tahu pokok mana yang nampak cantik tapi boleh jadi beracun atau bahaya kepada haiwan dan anak kecil? Siri sambungan akan dimaklumkan akan datang di FB Page Laman Aifa Tiya. Jemput follow :)

Bacaan Tambahan

Ulasan