Kunci Pepet (Kaempferia rotunda): Herba Perapat Wanita yang Kian Dilupakan

Kaempferia rotunda, dikenali dengan pelbagai nama tempatan seperti Temu Rapet, Kunci Pepet, Kunyit Putih, Temu Putih, Pepat Wangi, Pepat Udang. Tumbuhan herba daripada keluarga Zingiberaceae ini turut digelar Kunyit Putih kerana warna isi rizomnya yang putih kekuningan. 

Dari segi ciri luaran, tumbuhan ini menyerupai Kaempferia parviflora, iaitu Kunyit Hitam yang terkenal sebagai Thai Viagra. Namun khasiat dan kegunaan Kaempferia rotunda seperti nama gelarannya lebih kepada kaum wanita.

Habitat dan Taburan Kaempferia rotunda

Asal Usul : Tumbuhan ini berasal dari kawasan tropika di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia, dan Thailand.

Habitat : Tumbuh subur di kawasan yang lembap dan teduh seperti hutan hujan tropika dan kawasan pinggir sungai.

Penanaman Tempatan : Di Malaysia, ia sering ditanam di kawasan kampung sebagai tumbuhan herba dan hiasan.

Ciri Botani Kaempferia rotunda

Kaempferia rotunda dikenali sebagai Bhui Champa, Bhumi Champa dalam bahasa Sanskrit manakala dalam bahasa Inggeris, tumbuhan ini dipanggil Resurrection Lily, Peacock GingerRound Root, Blackhorm atau Indian Crocus. Melalui ciri botaninya dapat difahami mengapa gelaran tersebut diberikan buatnya.

Rizom : Struktur rizomnya kecil seperti Kaempferia parviflora dan tidak kan membesar seperti rizom kunyit makan dengan aroma lembut dan sedikit pedas. Isi di dalam berwarna putih kekuningan apabila dihiris (lihat gambar). Rizom Kaempferia rotunda mempunyai buah rizom berbentuk bulat pendek. Mempunyai tempoh dorman/ hibernasi ketika persekitaran tidak sesuai untuk pertumbuhannya.

Ketinggian : Biasanya mencapai ketinggian tidak melebihi daripada 50 cm.

Daun : Berdaun lebar dan hijau gelap dengan corak atas daun yang jelas. Belakang daun dan pangkal permulaan daun dengan rizom memiliki warna kemerahan mirip Kaempferia parviflora namun tonnya lebih gelap. Secara mata kasar untuk mereka yang mahir masih boleh membezakan dua spesies ini melalui daun tanpa melihat isinya.

Bunga : Berwarna putih hingga ungu muda dengan aroma yang harum, bunga Kaempferia rotunda muncul terus dari rizom tanpa batang yang jelas dalam persekitaran tertentu. Menariknya, bunga ini tidak akan muncul bersama daun pada rizom yang sama. Ia mekar secara tunggal dan hanya bertahan dalam tempoh yang singkat.

Setelah 10 tahun menunggu baru admin berpeluang merekodkan bunga Kaempferia rotunda yang indah ini. Ia tidak mudah berbunga seperti Kaempferia galanga atau Kaempferia parviflora.


Perbezaan Kaempferia rotunda dan Kaempferia parviflora

Kaempferia parviflora, atau lebih dikenali sebagai Krachai Dum (Thai Viagra), terkenal dengan manfaatnya sebagai tonik tenaga untuk lelaki. Kandungan flavonoid dan methoxyflavone dalam K. parviflora dikaitkan dengan peningkatan tenaga, peredaran darah, dan kesihatan lelaki. Untuk maklumat lanjut mengenai Kaempferia parviflora boleh lanjutkan pembacaan di sini. 

Berikut adalah perbezaan botani antara Kaempferia rotunda dan Kaempferia parviflora.

  • Secara umumnya, kedua sepesies ini lebih mudah dibezakan melalui warna rizomnya berbanding ciri luaran. Kaempferia parviflora mempunyai rizom ungu kehitaman, manakala Kaempferia rotunda berwarna putih kekuningan

  • Kaempferia parviflora mudah berbunga dan bunganya muncul di antara tangkai daun manakala Kaempferia rotunda berbunga hanya pada persekitaran yang sesuai tanpa kewujudan daunnya.
  • Saiz bunga Kaempferia rotunda lebih besar berbanding bunga Kaempferia parviflora.

  • Pangkal dan permukaan belakang daun kedua-dua spesies ini mempunyai warna kemerahan bergantung kepada penerimaan cahaya matahari dan faktor tanah. Ton merah pada Kaempferia rotunda lebih gelap seakan merah hati keunguan berbanding Kaempferia parviflora.

🌸 Menariknya, jika direnungkan semula, Kaempferia parviflora dan Kaempferia rotunda seakan-akan mencerminkan sifat lelaki dan wanita. Kaempferia parviflora lebih ‘rajin’ berbunga walaupun kecil, manakala Kaempferia rotunda lebih ‘pemalu’, mengambil masa bertahun-tahun untuk berbunga, tetapi apabila ia mekar—besar, wangi, dan memukau! Seperti seorang wanita yang penuh kelembutan dan misteri. Mungkin sebab itu juga kegunaan tradisional kedua-duanya pun berbeza mengikut jantina. 


Khasiat dan Kegunaan Perubatan Tradisional

Kaempferia rotunda banyak digunakan dalam perubatan tradisional terutamanya dalam pembuatan jamu dan ubat selepas bersalin kerana khasiatnya seperti:
  • Merapatkan rahim dan otot dalaman – Digunakan dalam jamu untuk wanita lepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan menguatkan badan wanita.
  • Melancarkan haid – Membantu masalah haid tidak teratur.
  • Anti-radang dan antioksidan – Mengurangkan keradangan dan melawan radikal bebas.
  • Antibakteria dan antikulat – Kandungan minyak pati membantu melawan jangkitan kulit seperti scabies.
  • Membantu dalam masalah penghadaman dan angin dalam badan.

Cara Penggunaan dalam Perubatan Tradisional:

  • Jamu Selepas Bersalin: Rizom kunci pepet dikeringkan, dikisar halus dan dicampur dengan madu untuk dijadikan pil jamu.
  • Teh Kunci Pepet: Hiriskan nipis dan rebus dalam air selama 10-15 minit. Minum suam untuk melancarkan haid.
  • Tampalan Luka: Rizom ditumbuk halus dan ditampal pada luka kecil untuk mempercepatkan penyembuhan.

Penggunaan dalam Masakan:

  • Tidak seperti temu kunci dan cekur yang biasa digunakan dalam masakan, kunci pepet jarang digunakan dalam masakan walaupun ia selamat untuk dimakan. 
  • Hanya di sesetengah tempat di Indonesia dan Thailand, ia masih digunakan dalam ramuan jamu atau sebagai bahan tambahan dalam kuih tradisional untuk rasa pedas ringan dan aroma herba yang unik. 
  • Di Malaysia, pengetahuan tentang penggunaan herba ini dalam masakan mahupun kegunaan perubatan adalah terhad. Hanya orang tertentu yang mahir menggunakannya.

Amaran dan Kesan Sampingan:

  • Wanita mengandung tidak digalakkan mengambil kunci pepet dalam apa jua bentuk kerana ia boleh merangsang rahim, mengecutkan rahim dan mengakibatkan keguguran.
  • Jangan diambil berlebihan kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan perut atau cirit-birit.
  • Dapatkan nasihat pakar herba atau doktor sebelum mengambil jamu, terutamanya bagi mereka yang ada masalah kesihatan kronik.

Resipi Jamu Menggunakan Kunci Pepet:

Berikut adalah beberapa resipi jamu tradisional yang menggunakan kunci pepet untuk kesihatan dalaman wanita.

A. Jamu Kunci Pepet untuk Kesihatan Rahim dan Merapatkan Otot Dalaman

Bahan-bahan:

  • 3-5 keping rizom kunci pepet (dihiris nipis)
  • 1 sudu kecil madu asli
  • 1 gelas air

Cara Penyediaan:

  • Rebus hirisan kunci pepet dalam 1 gelas air sehingga mendidih dan biarkan mendidih selama 10 minit.
  • Tapis air rebusan dan biarkan suam sedikit.
  • Campurkan madu dan kacau rata.
  • Minum sekali sehari, sebaiknya pada waktu pagi.

Kegunaan:

  • Membantu merapatkan rahim dan otot dalaman.
  • Melancarkan peredaran darah dan membantu memulihkan tenaga wanita selepas bersalin.

B. Jamu Kunci Pepet untuk Melancarkan Haid

Bahan-bahan:

  • 2 keping rizom kunci pepet (dihiris nipis)
  • 1 sudu kecil pes asam jawa
  • 1 sudu kecil madu (ikut citarasa dan jenis madu)
  • 1 gelas air

Cara Penyediaan:

  • Rebus kunci pepet dan asam jawa dalam air sehingga mendidih.
  • Biarkan mendidih selama 15 minit sehingga air tinggal separuh.
  • Tapis dan biarkan suam.
  • Campurkan madu dan kacau rata.
  • Minum 2-3 hari sebelum tarikh jangkaan haid untuk membantu melancarkan kitaran haid.

Kegunaan:

  • Melancarkan haid yang tidak teratur.
  • Mengurangkan kekejangan haid dan kembung perut.

C. Jamu Selepas Bersalin untuk Memulihkan Tenaga dan Merapatkan Rahim

Bahan-bahan:

  • 3 keping rizom kunci pepet (dikeringkan dan ditumbuk halus)
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit hidup 
  • 1 sudu kecil serbuk habbatus sauda
  • 1 sudu kecil madu asli (ikut citarasa)
  • Air secukupnya untuk bancuhan

Cara Penyediaan:

  • Campurkan serbuk kunci pepet, kunyit, habbatus sauda dan madu.
  • Tambah air secukupnya untuk menjadikan pes pekat.
  • Bulatkan pes menjadi pil kecil.
  • Keringkan di bawah matahari atau dalam ketuhar dengan suhu rendah.
  • Simpan dalam bekas kedap udara.
  • Ambil 1 biji setiap pagi dan malam selepas makan untuk tenaga dan pemulihan dalaman selepas bersalin.

Kegunaan:

  • Mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin.
  • Menambah tenaga dan memperbaiki kesihatan dalaman.


Cara Penanaman dan Penjagaan

Kaedah Penanaman:

  • Rizom sihat ditanam pada kedalaman 2-3 cm dengan tunas menghadap ke atas. 
  • Memerlukan tanah yang gembur, bersaliran baik dan kaya dengan bahan organik.
  • pH tanah yang sesuai antara 5.5 hingga 6.5.

Keperluan Cahaya:

  • Elakkan pendedahan terus kepada matahari terik. Kaempferia rotunda suka pada cahaya matahari separa teduh seperti habitat asalnya.

Penyiraman dan Pembajaan:

  • Pastikan medium penanaman bersaliran baik dan tidak menakung air untuk mengelakkan akarnya reput.
  • Gunakan baja organik seperti kompos untuk menyuburkan tanah.

Penuaian:

  • Rizom boleh dituai selepas 8-10 bulan apabila daun mulai layu dan kering. 
  • Tempoh matang bergantung kepada cara penjagaan, tanah dan faktor luaran lain. 
  • Pertumbuhan rizom Kaempferia rotunda sememangnya sangat perlahan berbanding spesies Kaempferia lain. 
  • Jangan terpedaya dengan daunnya yang subur dan membayangkan hasil rizom yang banyak. 


Kaempferia rotunda vs. Boesenbergia rotunda – Jangan Keliru Lagi!

Pernah dengar tentang Kaempferia rotunda dan Boesenbergia rotunda? Kedua-duanya mempunyai nama spesies rotunda, tetapi sebenarnya sangat berbeza! Ramai pembekal herba tersilap mengenal pasti, menyebabkan kekeliruan bagi mereka yang mencari Kaempferia rotunda. Ini adalah normal kerana bukan semua penjual herba mempunyai latar belakang botani/ hortikultur.

Baru-baru ini admin juga menerima pertanyaan dari penuntut universiti yang mencari Kunci Pepet (Kaempferia rotunda). Kebanyakan pembekal akan memberikan gambar Temu Kunci (Boesenbergia rotunda) kerana isu kekeliruan nama ini dan juga faktor bekalan Temu Kunci lebih mudah diperoleh berbanding bekalan rizom Kaempferia rotunda.

Jadi, bagaimana cara membezakan dua spesies ini? Berikut adalah perbandingannya:

Boesenbergia rotunda (Temu Kunci):

  • Daun hijau sepenuhnya tanpa sebarang corak.
  • Bunga tubular berwarna pink muncul di antara tangkai daun.
  • Rizom berbentuk jejari dan berbau lebih kuat, sering digunakan dalam masakan Tomyam.
  • Baca mengenai Temu Kunci (Boesenbergia rotunda) disini.

Kaempferia rotunda (Kunci Pepet):

  • Permukaan atas daun bercorak hijau putih jelas atau samar bergantung kepada persekitaran. Belakang daun pula berwarna merah hati.
  • Bunga berwarna putih hingga ungu muda dan muncul biasanya tanpa daun ada sama.
  • Luaran rizom coklat gelap dengan isi di dalam berwarna putih kekuningan apabila dihiris. Buah rizom bulat bujur.

Syukur pelajar universiti tersebut mengetahui perbezaan dua tumbuhan ini dengan jelas dan berusaha mencari spesimen rizom yang betul bagi tujuan penyelidikan. Semoga usaha penyelidikan mereka membuahkan hasil dan memberi sumbangan dalam ilmu perubatan negara.

Kunci Pepet (Kaempferia rotunda) adalah tumbuhan herba yang kaya dengan khasiat perubatan dan kegunaan tradisional. Dengan kelebihan sebagai herba selepas bersalin dan membantu dalam masalah penghadaman, ia terus digunakan dalam perubatan tradisional di Asia Tenggara. Cuma adakala timbul isu kekeliruan kerana kekurangan ilmu nama botani di kalangan orang awam. Namun perbezaan dari segi daun, bunga, dan rizom memudahkan proses pengecaman tumbuhan. 

Semoga blogpost ini dapat membantu lebih ramai orang untuk mengenal pasti Kaempferia rotunda, nama-nama panggilan yang diberikan kepadanya dan memahami manfaat perubatannya yang telah lama digunakan oleh orang terdahulu. Dengan mengetahui pengecaman tumbuhan dengan lebih jelas, pengguna boleh memanfaatkan sepenuhnya khasiat Kunci Pepet seperti yang diceritakan.

Hubungi admin untuk anak pokok Kaempferia rotunda atau boleh terus buat pembelian di sini.


Rujukan dan Bacaan Tambahan 

Ulasan